Friday, February 23, 2007

Kebebasan Berpandangan;Teori Yang Disalaherti

Membahas Nilai Kebebasan

Peristiwa demi peristiwa berlaku di hadapan mata kita mutakhir ini. Isu tindakan Amina Wadud bilamana dia menjadi imam solat jumaat, isu kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W, tindakan 50 badan NGOs serta lebih 200 orang individu lain yang menunjuk perasaan membantah pihak berkuasa (kerajaan) mengawal rakyat negara kita. Mereka tidak suka rakyat negara ini dikawal dengan undang-undang dan juga hukum(agama), penubuhan suruhanjaya anti-Islam (IFC) yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religous Council) atas alasan kebebasan beragama, isu undang-undang Islam yang dipertikaikan oleh SIS, ruang yang luas bagi penulis liberal menulis di media massa serta pelbagai asakan dan tohmahan yang dihujum ke atas Islam. Artis dengan sewenangnya menghina Rasulullah S.A.W. Semuanya atas dasar kebebasan semata!

Kekeliruan sekali lagi ditonjolkan apabila pelbagai ajaran sesat muncul di negara kita. Ajaran Ayah Pin dan ajaran Rufaqa’(dahulunya lebih dikenali sebagai Al-Arqam) kembali segar di celah masyarakat yang buta. Di suatu sudut yang lain, kita melihat bagaimana dua kumpulan agama bertelagah sesama sendiri semata-mata membahaskan perkara furu’.

Kita sedar Islam tidak menyekat manusia. Islam tidak menentang kebebasan apatahlagi mengongkong manusia. Kebebasan inilah yang membina daya pemikiran proaktif ulama Islam dalam meninggikan syiar Islam. Cuma kebebasan itu ada hadnya. Jika begitu, apakah had dan batasannya?

Kebebasan dan kekuasaan manusia pada dasarnya terbatas, dibatasi oleh hal-hal yang tidak dapat dikuasai manusia sendiri umpamanya kelahiran, kehidupan dan kematian, hukum alam atau sunnah Allah dan sebagainya.
Membahas nilai kebebasan sangat kompleks dan selalu berorientasi pada nilai-nilai kemanusiaan. Dengan kebebasan, manusia dapat menyelamatkan diri dari segala macam bentuk tekanan, paksaan, kediktatoran, penjajahan, dan semacamnya. Selain itu juga menjadikan manusia sebagai pemimpin dalam kehidupan ini, sementara di saat yang sama juga sebagai hamba Tuhan.

Dasar kebebasan adalah keimanan; ertinya kebebasan merupakan nilai dan nikmat yang diberikan Allah kepada setiap manusia. Ketika Allah berkehendak menciptakan manusia, diikat dengan janji bahwa Dia adalah satu-satunya yang disembah, tidak ada sekutu bagiNya. Ini bermakna, manusia tidak boleh tunduk selain kepadaNya dan menyalahi aturan dan kaedah yang diaturNya. Keimanan yang tinggi inilah yang menjadikan manusia bebas dan hanya mengharap penggantungan hanya kepada Allah. Dengan demikian, manusia tidak akan tunduk kepada sesuatu melainkan Allah dan kepada aturan yang bukan aturanNya.

Kebebasan merupakan nikmat Allah yang dikurniakan kepada manusia, pada dasarnya dapat ditemukan pada semua agama yang berlandaskan tauhid. Kebebasan seperti ini merupakan hak umum bagi setiap manusia, sehingga tidak ada perbezaan antara manusia yang satu dengan manusia lainnya, antara satu bangsa dengan bangsa lainnya, dan seterusnya selagi mereka berpegang teguh nilai-nilai keimanan. Jika dikatakan kebebasan yang berada di bawah undang-undang buatan manusia adalah kebebasan sebenar, maka kebebasan dalam Islam merupakan kebebasan yang dibebankan kepada seorang muslim!

Punca Kepincangan

Umat Islam hari ini dikelirukan dalam segenap sudut. Kita boleh melihat di dalam urusan kemasyarakatan, barat mengemukakan prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan memilih sikap dan cara hidup serta berfikir sehingga kebebasan itu membawa kepada pengharusan apa yang diharamkan oleh Allah dan yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia. Serangan pemikiran yang dihiasi dengan segala bentuk kemewahan dan keghairahan berfikir mengakibatkan umat Islam sendiri berani menghujum agama sendiri. Propaganda barat berhasil. Pelbagai fahaman cuba disesuaikan dengan Islam, akibatnya muncullah istilah seperti Islam Liberal, Islam Fundamental, Islam Konservatif, Islam Hadhari dan pelbagai lagi. Lalu, umat Islam menggunapakai dalam keadaan rela atau terpaksa. Lebih parah apabila para ulama dan cendikiawan Islam yang diberi kepercayaan mempromosinya tanpa rasa bersalah.

Kebebasan tajaan barat ini terus memancing ummat Islam agar terus asyik dan alpa dengan runtuhan nafsu syahwat. Mereka mendakwa kebebasan adalah kebanggaan antarabangsa. Bebas bersuara dan menyatakan pendapat sekalipun ianya menyentuh pihak yang lain. Ini membuka ruang untuk mereka menghina Islam. Media massa diberi kebebasan seluas-luasnya sehingga ia diluar kawalan adab kemanusiaan. Walhal, media ini menjadi salah satu saranan penting untuk mencetak minda masyarakat tapi dalam masa yang sama mereka mengekang Islamik media. Kebebasan hanya didasari dengan undang-undang manusia semata. Maka, tidak hairan sekiranya penentangan itu dilakukan oleh umat Islam itu sendiri.

Menurut Denny JA, Rektor Yayasan Universiti Jayabaya Jakarta, munculnya kondisi seperti ini kerana kebebasan (partisipasi politik) yang besar dari rakyat tidak diimbangi dengan kemampuan untuk hidup bersama, kemampuan berkompetisi dengan sihat, dan berdialog secara baik. Yang ada hanya keinginan mengemukakan kehendaknya sendiri tanpa mahu memahami keinginan pihak lain. Seolah-olah hanya pendapat dirinya yang benar dan yang lain salah. Padahal, pendapat sendiri itu baru sepihak dan masih harus diteliti atau dipadukan dengan pendapat dan fakta dari pihak lain.

Masalah ini juga timbul apabila kecenderungan seseorang menggunakan kebebasan akal dalam mentafsir tanpa merujuk kepada kaedah yang sohih dan jelas. Kebebasan berfikir ini cuba mengharungi perkara yang samar dan tidak jelas. Keadaan inilah yang membawa kepada kecelaruan dalam pemikiran umat sehingga membawa malapetaka yang sukar diduga akibatnya.

Kesempatan yang luas ini juga membuka ruang kepada sesetengah golongan untuk mencari keuntungan sendiri menimbulkan perbezaan dan seterusnya menyemarakkan perbezaan tersebut.

Manusia perlu keluar dari kongkongan ini. Kebebasan yang melanggar fitrah manusia. Kembali mengkoreksi diri dan membuang ego dan taaksub melampau. Umat Islam perlu mengenal identiti mereka sendiri. Mentafsir wahyu ilahi dengan berhati-hati. Menyedari bahawa kebebasan hakiki hanya bilamana AlQuran dan As-Sunnah dijadikan panduan.
bersambung...

No comments: