Friday, February 23, 2007

Kebebasan Berpandangan;Teori Yang Disalaherti (02)

Bagaimana Pandangan Islam?

Memberi pandangan, idea dan pemikiran itu tidak salah. Malah tafsiran Al-Quran juga dibenarkan menggunakan "arra'yu" mengikut pandangan ulama' berdasarkan hujah yang lebih rasional.

Firman Allah : "Ini sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh keberkatan supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran oleh orang-orang yang mempunyai fikiran."(shaad:29)

Firman Allah : "Sesungguhnya telah kami turunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu maka apakah kamu tiada memahaminya?" (al-anbiya':10)

Firman Allah lagi :"Apakah mereka tidak memerhatikan Al-Qur’an? Atau adakah hati mereka terkunci?"(muhammad:24)

Bukan semua orang dapat memahami kandungan al-quran apa lagi untuk mengetahui rahsia-rahsianya yang tersirat di sebalik ayat-ayatnya itu. Oleh itu Al-Quran perlu ditafsir dan dihuraikan. Walaupun manusia memiliki akal yang terbatas, namun alim ulama' yang berwibawa dituntut supaya menyampaikan mesej Al-Quran untuk amalan dan panduan masyarakat. Dengan akalnya yang terbatas itu, manusia hanya mampu memahami maksudnya setakat yang terdaya sahaja dengan bantuan penguasaan bahasa Arab, ilmu pengetahuan dan tanggapan yang mereka miliki. Yang mengetahui maksud yang sebenar adalah Allah jua. Maka di sana, ulama juga membenarkan Al-Quran itu ditafsir menggunakan "ar-ra'yu" mengikut batasan dan syarat tertentu.

Penulis suka mengajak para pembaca melihat kepada disiplin ilmu tafsir bagi seseorang yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau ijtihad. Seorang mufassir dikehendaki menguasai beberapa ilmu. Berpandukan ilmu-ilmu tersebut, ia tidak lagi dapat dianggap sebagai memperkatakan Al-Quran tanpa dasar atau memperkatakan terhadap Allah secara rambang tanpa ilmu. Ilmu-ilmu yang perlu dikuasai itu ialah ilmu bahasa, ilmu nahu, ilmu saraf, ilmu isytiqaq, ilmu balaghah, ilmu qiraat, ilmu usuluddin, ilmu qasas, ilmu asbabun nuzul, ilmu nasikh mansukh dan ilmu mauhibah. Panduan ini boleh dijadikan asas bagi yang ingin mengeluarkan sebarang pendapat.

Dalam hal perbezaan pandangan dalam hukum Islam, umat Islam seharusnya menyedari bahawa perkara ikhtilaf tidak dapat ditiadakan tetapi perpecahan perlu diberhentikan dengan segera agar tidak membawa malapetaka kepada umat. Allah melarang keras perpecahan dan memerintah serta menggesa supaya hambaNya berpegang teguh kepada agamaNya.

Dalam sudut yang lain, pandangan dan aspirasi yang dikemukakan hendaklah mengikut tatacara sebagaimana firman Allah taala di dalam surah al-hujurat,6. Dengan itu, manusia tidak akan mengemukakan sebarang pandangan tanpa memperhatikan hak-hak orang lain. Manusia dilarang mencaci-maki, merendahkan yang lain dan menghujum tanpa usul periksa.

Inilah kebebasan dalam Islam. Kebebasan yang diikat dengan ikatan-ikatan syarak. Kebebasan yang dilandaskan ketakwaan kepada Allah. Kebebasan inilah yang menjamin manusia dari berlebihan dalam kesombongan dan keinginan hawa nafsu.

Cadangan Kebebasan Berpandangan

Musyawarah atau segala bentuk perbincangan sihat merupakan satu-satunya jaminan berupa kebebasan di dalam berdialog dan memberi pandangan. Kebebasan dalam bermusyawarah merupakan kebebasan berpendapat, berdiskusi, pengakuan dan berpegang pada nilai-nilai kebenaran. Inilah yang disebut oleh Athiyah al-Abrasyi sebagai kebebasan yang sempurna. Ertinya, keputusan berkelompok hanya akan terhasil setelah dipertimbangkan dengan bermacam argument, bukan sekadar pertimbangan mengikut jumlah majoriti suara kerana jumlah suara boleh menjadi tersesat apabila hanya mengikuti hawa nafsu dan prasangka.


Hal ini telah disebutkan Allah di dalam firmanNya :"Dan jika kamu menuruti kebanyakkan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah, mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."(al-an'am:116)


Tindakan Penyiaran Islam Jakarta boleh dijadikan contoh apabila menggariskan piagam setia kod etika sebaran am Islam. Piagam dan kod etika dijadikan garis panduan mereka dalam perlaksanaan tugas mereka serta sumber peraturan dan akta yang menyusun atur tugas dan tanggungjawab mereka antaranya mengenalpasti kewajipan sendiri terhadap orang lain, kebebasan dan hak-hak asasi mereka. Penggiat sebaran massa hendaklah berusaha untuk menyatupadukan umat Islam, mengajak mereka berfikir secara rasional, bersikap ukhuwwah dan toleransi dalam menyelesaikan permasalahan mereka.


Adab Memberi Pandangan

Melihat kepada kesan dan impak apabila pandangan, idea dan aspirasi disensasikan terhadap masyarakat, maka terdapat beberapa adab yang perlu diikuti agar pandangan, idea dan aspirasi tidak menimbulkan kerosakan di dalam diri dan masyarakat. Antara panduan yang perlu diikuti ialah :

1) Ikhlas dalam memberi pandangan.

Pandangan, idea dan tafsiran yang dikeluarkan adalah ikhlas kerana Islam dan mencari keredhaan Allah. Seringkali pandangan atau tafsiran yang diberikan kerana kepentingan peribadi, mencari keuntungan, kemasyhuran dan sebagainya.

2) Menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan tertinggi.

Apa jua pandangan, idea dan tafsiran yang ditonjolkan mestilah berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Undang-undang manusia yang bertentangan dengan syarak bukanlah syarat kepada menidakkan prinsip asas ini. Ini penting supaya apa yang ditulis tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kesilapan berpandangan boleh mengakibatkan keruntuhan akidah yang lebih parah.

3) Pandangan yang jelas dan berdisplin.

Pandangan, idea atau tafsiran hendaklah jelas dan mempunyai panduan ke arah penyelesaian. Pandangan yang diberikan tidak mengakibatkan masyarakat yang mempunyai tahap pemikiran yang berbeza bertelagah sesama sendiri. ‘Ar-ra’yu’ bertujuan mengukuhkan hujah dan fahaman mereka dalam satu isu menurut metologi dan disiplin ilmu tafsir yang sebenar mengikut batasannya.

4) Pandangan yang berasas dan berakhlak

Pendapat atau pandangan yang menyentuh hal peribadi manusia hendaklah mempunyai sandaran atau informasi yang lengkap. Mengadu-domba dan caci maki tidak mencerminkan akhlak (etika) seorang muslim.

5) Berlapang dada dan menghormati pandangan yang lain.

Apabila semua pihak berlapang dada dan menghormati perbezaan pandangan yang timbul, pasti perbalahan dapat dielakkan. Cara ini dapat membantu mencapai natijah yang baik dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kesimpulan

Islam sangat menghormati akal kerana Islam adalah agama untuk orang yang berakal. Allah Yang Maha Sempurna tidak menyekat manusia dalam berfikir. Malah, aspirasi inilah yang membuat manusia menyedari bahawa kebebasan yang sebenar adalah dengan menerima segala suruhan tanpa banyak soal. Batas yang digariskan diharap dapat menyatupadukan umat manusia yang berbilang bangsa, warna dan keturunan.


Kebebasan yang diberikan harus diarah agar menjadi lebih positif dan konstruktif, terutama untuk membangun kehidupan sosial yang lebih baik. Kebebasan inilah yang menggemilangkan umat Islam dan kebebasan ini jugalah yang meruntuhkan umat Islam. Amat rugi jika kebebasan ini menjadi punca perpecahan umat. Pucuk pangkalnya, ianya bertitik tolak dari diri kita sendiri. Kalau ulama yang empat boleh bersatu, kenapa kita tidak ?
Sekian...

No comments: