Sunday, November 01, 2009

Tamak Mengundang Mudarat

Hadith :

Abu Said al-Khudri menerangkan bahawasanya Nabi SAW pada suatu hari duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya.

Maka nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang aku takut terhadap diri mu sesudah wafat ku ialah kemewahan yang diberikan kepada mu. Iaitu kemewahan dunia dan hiasannya.

Maka seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kebaikan itu mendatangkan kejahatan?

Maka nabi berdiam diri. Kerana itu seseorang berkata kepada orang tersebut : “Mengapa kamu? Apa urusan mu? Engkau bertanya kepada nabi, baginda tidak mahu menjawab.

Kemudian kami melihat bahawasanya nabi sedang diturunkan wahyu kepadanya.

Abu Said berkata; “ Maka nabi menyapu peluh pada dirinya dan nabi bertanya: “Mana si penanya?” seolah-olah nabi memuji orang tersebut.

Kemudian nabi bersabda: “Sesungguhnya kebaikan itu tidak mendatangkan kejahatan. Dan sesungguhnya di antara yang ditumbuhkan musim bunga, ada yang memusnahkan binatang lantaran kekenyangan atau hampir-hampir membinasakannya kecuali binatang yang memakan sayur-sayuran. Dia memakan umpan hingga apabila telah buncit lambungnya, maka dia pun menatang matahari lalu dia mengeluarkan kotoran dan kencing serta pergi ke padang penggembalaan. Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Atau sebagaimana nabi pernah sabdakan. Dan bahawasanya orang yang mengambil harta dengan bukan haknya adalah sebagai orang yang memakan dan tidak merasa kenyang. Dan jadilah harta itu saksi atas dirinya di hari kiamat.” (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan suka mengumpulkan harta akan tetapi tidak suka bersedekah dan menafkahkan harta tersebut ke jalan Allah.

Sedangkan orang yang banyak bersedekah adalah orang yang melaburkan saham untuk kepentingan akhirat.

Hakikatnya harta itu adalah fitnah seumpama binatang yang hidup di padang ternakan.

Ada yang mati akibat terlalu banyak makan dan ada yang mengeluarkannya kembali sehingga tidak membuncitkan perutnya.

Perumpamaan ini adalah bagi orang yang membelanjakan hartanya di jalan-jalan kebajikan. Justeru dalam mencari harta kita perlu bersederhana jangan terlalu tamak hingga mengundang mudarat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Monday, October 26, 2009

Adakah anak anda menghisap puting?


ADAKAH anak anda menggunakan puting bayi? Jika ya, anda mungkin perlu menghadapi kenyataan yang pahit hasil penemuan terkini bidang perubatan.

Kanak-kanak yang menggunakan puting bayi sebenarnya berisiko tiga kali ganda menghadapi kesukaran bercakap ketika usia mereka menjelang dewasa kelak.

Kajian saintis mendapati kanak-kanak prasekolah yang menggunakan puting bayi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lebih cenderung mempunyai kesukaran membuat ucapan berbanding kanak-kanak yang langsung tidak menggunakan alat tersebut.

Penyelidikan tersebut turut membuktikan kanak-kanak yang menghisap jari juga menghadapi risiko lambat bercakap.

Kajian yang dijalankan sebelum ini oleh The American and Chilean adalah bagi mengetahui hubung kait antara tabiat suka menghisap ibu jari, penyusuan ibu dan penggunaan puting bayi bagi menenangkan bayi terhadap 128 orang kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

Mereka juga menggunakan ujian linguistik bagi mengenal pasti tahap normal perkembangan kebolehan bertutur dalam kalangan kanak-kanak tersebut terutama yang melibatkan sebutan dan bunyi huruf.

Menurut ketua penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Clarita Barbosa, kanak-kanak yang menghisap jari, ibu jari atau puting bayi untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga tahun akan mengalami gangguan dari segi perkembangan bahasa dan pertuturan sehingga tiga kali ganda.

BOTOL susu juga berupaya mengganggu perkembangan kanak-kanak.

Berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu sehingga mencecah usia sembilan bulan dan langsung tidak menggunakan botol susu, risiko terhadap mereka amat rendah.

"Hasil ujian ini menjelaskan bahawa lebih lama penggunaan puting bayi, kesukaran untuk bertutur akan semakin meningkat," jelas Barbosa.

Tambahnya, walaupun keputusan ini memerlukan bukti yang lebih mendalam terutama melibatkan jangka masa penyusuan ibu, orang ramai harus melihatnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdebatan mengenai penggunaan puting bayi tersebut telah lama merunsingkan ibu bapa kerana sesetengah kanak-kanak amat selesa menggunakan puting tersebut bagi menenangkannya.

Doktor gigi bagaimanapun berkata, penggunaan puting bayi pada keadaan tertentu berupaya mengubah pembentukan gigi apabila digunakan terlalu lama.

Kajian itu dilakukan oleh sebuah pasukan dari de Rehabilitacion Club De Leones Cruz del Sur dan Universiti Washington. Ia diterbitkan dalam jurnal BMC Paediatrics.

Penggunaan secara berlebihan

Penggunaan puting bayi secara berlebihan, secara salah atau terlalu lama sehingga melangkaui zaman persekolahan boleh membawa kepada masalah mulut dan gigi.

Gejala-gejalanya ialah:

* Gigi beralih posisi - Gigi tertolak ke depan menyebabkan gigi bawah dan atas bahagian depan tidak bertemu dengan baik.

* Kerosakan gigi (bahagian depan) - Berlaku jika puting bayi dicelup ke dalam bahan manis sebelum dihisap.

* Bernafas melalui mulut - Anak anda mungkin akan lebih cenderung untuk bernafas melalui mulut berbanding hidung. Keadaan ini boleh menyebabkan anak mengalami masalah air liur meleleh berpanjangan.

* Masalah pertuturan dan bahasa - Anak anda mungkin tidak dapat menggunakan sepenuhnya pergerakan lidah yang diperlukan untuk menghasilkan semua sebutan dan peluang mereka mungkin lebih tipis untuk menggunakan bunyi bagi tujuan berkomunikasi.

* Menggalakkan anak berhenti menggunakannya - Kebanyakan kanak-kanak berhenti menghisap puting bayi, jari atau ibu jari pada umur antara dua dan empat tahun. Bagaimanapun, menghisapnya terlalu lama melebihi enam atau tujuh tahun (ketika gigi kekal sedang tumbuh) boleh mengakibatkan masalah gigi dan mulut.

Sunday, October 18, 2009

111 Days

Bismillah...

Alhamdulillah,semalam (17/10/2009)selesai sudah majlis kenduri. Bukan mudah menanti dan menghadapi situasi selama 111 hari selepas diijabkabulkan (28/6/2009). Bukan mudah menjadi orang yang tak kesah. Bukan juga mudah menjadi seorang suami apatahlagi bila berjauhan dengan penyejuk hati.

Namun, alhamdulillah...segalanya semakin beransur baik dan ceria. Tiada lagi istilah memberi dan menerima..Sama-sama memberi dan sama-sama menerima.

Bagai tak disangka,rezeki paling besar Allah kurniakan di saat itu. Zuriat keturunan yang bakal kami didik menjadi pejuang Islam. Sungguh perjalanan itu masih panjang. Kami perlukan kekuatan dan kesabaran. Peliharalah kami Ya Allah!

Semalam,pesanan dari sahabat seperjuangan masih terngiang-ngiang dekat dihati. Ironiknya,hanya 3 huruf saja yang dilafazkan dekat ditelingaku..Shad...Ba'...Ra'..Sambil tersenyum sahabatku melangkah pergi. Cukup besar pengertian itu. Terima kasih sahabat..

Hanya puji dan syukur mampu ku lafazkan. Semoga Allah sentiasa bersama kami.

Buat sahabat seperjuangan lain yang tak sempat nak post kad jemputan. Ana minta maaf banyak2..Kita akan bertemu di lain masa. Insyallah..Doakan kebaikan buat usrah kami..

Friday, June 12, 2009

ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN

Memang sudah lama sangat tidak mencoret sesuatu di dalam blog ini. 2 minggu cuti sekolah benar-benar aku penuhi dengan menziarahi keluarga di Perlis. Langsung tidak dapat mengikuti perjalanan muktamar dengan lebih dekat, hanya memerhati dari jauh. Segalanya rancangan Allah.

Muktamar Pas kali ini memang terasa perbezaan. Paling aku suka, melihat gambar2 wakil gerakan islam serata dunia yang hadir di muktamar tersebut.

'Islam memimpin perubahan' satu keazaman yang telah lama dilontarkan buat rakyat malaysia. Mungkin dahulunya bingung dek dakyah 'atok tua' yang kini semakin tenat. Namun di sudut hati ini, tetap terasa bimbang. Perasaan ini boleh jadi salah, boleh jadi betul.

Membaca sejarah ketuanan melayu memang menaikkan iman untuk memelihara tanah air ini dari dinodai. Islam menjadikan melayu dipandang di mata dunia. Islam menjadikan melayu mampu melahirkan ulama yang thiqah. Islam menjadikan bahasa melayu sentiasa di bibir pedagang luar masa itu. Namun,zaman itu aku belum ada.

Melihat hari ini,dengan suasana rakyat yang bukan hanya melayu. Jiran aku juga berbangsa cina. Bangsa india dan bangsa lain sekarang juga punya kad biru. Lalu,kelangsungan ketuanan Islam apakah mungkin dapat memimpin.

Bukan sebab bangsanya. Aqidah kefahaman masing-masing berbeza. Untuk Islam dapat memimpin perlu kepada kekuatan aqidah yang mantap.

Lantas,dakwah apa yang telah kita gerakkan sekarang. Ayat al-Quran mana yang telah kita sampaikan pada mereka. ?? Persoalan ini anda yang mengaku muslim perlu jawab.

Cukup sekadar ini. Coretan belum tamat.

assalamualaikum

Wednesday, April 22, 2009

LELAKI BERAMBUT PANJANG


LELAKI berambut panjang! Sesetengah pihak mendakwa lelaki berambut panjang menampilkan imej mengagumkan, malah mempunyai nilai dan gaya tersendiri, yang mudah menjadi perhatian umum.

Di sudut adat pula, golongan yang berambut panjang selalunya dipanjang sinis, sering dianggap tidak berdisiplin dan banyak kes dikaitkan dengan tabiat kurang baik, walaupun bukan semua mereka begitu.


Ini berbeza dengan imej rambut pendek, yang kelihatan kemas, bersih dan berdisiplin, walaupun sesetengahnya tidaklah sedemikian, bahkan mereka yang berambut pendek kadangkala berperangai lebih teruk.

Tetapi salahkah lelaki Islam menyimpan rambut dan membiarkannya panjang? Tidakkah Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi ikutan umat Islam juga mempunyai rambut panjang dan bukankah ia suatu sunnah, mengikuti jejak langkah kehidupan baginda?

Presiden Pusat Penyelidikan Islam Amerika, Columbus, Ohio dan Ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, Dr Salah Sultan, berkata tiada salahnya membiarkan rambut panjang sekiranya seorang itu menjaganya dengan baik.

Ini kerana katanya, Nabi s.a.w dilaporkan bersabda (bermaksud): "Sesiapa yang mempunyai rambut, peliharalah ia" dan dilaporkan juga yang Nabi s.a.w mempunyai rambut panjang.

Bagaimanapun, menurutnya, seseorang itu sewajarnya mengikut pertimbangan adat umum satu-satu masyarakat.

"Tidak dianjurkan bagi Muslim melakukan yang berbeza dengan adat masyarakat, selagi adat itu tidak diharamkan," katanya, dipetik dalam satu laman sesawang soal jawab berkaitan hukum.

Justeru, katanya, sekiranya membiarkan rambut panjang secara adatnya memperlihatkan sebagai tabiat buruk dalam sesetengah masyarakat, Muslim sewajarnya menghormati nilai itu walaupun dia lebih gemar berambut panjang.

Ulama berpendapat, membiarkan rambut panjang bukannya sunnah dan perkara mendatangkan ganjaran kepada seseorang, bahkan ia hanya lebih kepada adat serta tradisi, malah dilaporkan ia adat kebiasaan orang Arab.

Nabi s.a.w dilaporkan membiarkan rambutnya panjang dan mencukurnya. Baginda tidak mengatakan apa-apa ganjaran bagi orang yang membiarkan rambut panjang atau berdosa apabila mencukurnya. Tetapi baginda memerintahkan lelaki menjaga rambut.

Begitupun, lelaki Muslim yang memilih untuk membiarkan rambut panjang harus berwaspada supaya jangan sampai menyerupai wanita kerana ia dilarang sama sekali oleh Islam. Begitu juga sebaliknya, wanita dilarang menyerupai lelaki.

Ibnu Abas r.a melaporkan: "Nabi s.a.w mengutuk lelaki yang menyerupai wanita." (Hadis riwayat Al-Bukhaari)

Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, 1993 ada menyatakan, yang baginda ada menyimpan rambut tetapi caranya atau kaifiatnya itu bermacam-macam riwayat.

"Sesetengah riwayat, rambut Rasulullah itu panjang sampai ke telinga, setengah riwayat sampai cuping telinga dan ada lagi riwayat lain yang mengatakan rambut baginda itu jejak ke bahu."

Menurut fatwa itu, Imam Nawawi menanggung perselisihan riwayat berkenaan kerana berselisih masa, iaitu masa bergunting, rambutnya akan panjang sampai cecah di bahu, dengan setiap orang yang melaporkan riwayat terbabit memberitakan apa yang dia lihat pada suatu masa.

Jadi di sini jelas, rambut Nabi s.a.w bukanlah terlalu panjang sebagaimana dijadikan alasan bagi mereka yang lebih cenderung berambut panjang melepasi batas bahu, hingga menimbulkan kekeliruan dari segi gender.

Seorang lelaki Islam itu sangatlah dilarang berambut panjang sekiranya ia disebabkan perbuatan meniru bangsa bukan Islam dan bertujuan menunjuk-nunjuk, malah gagal menjaganya dengan rapi.

Demikian juga, perbuatan membiarkan sebahagian kepala berambut panjang, manakala yang lain dipendekkan atau dicukurkan atas alasan mengikut gaya terkini dan kelihatan lebih 'mengancam' turut diharamkan.

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meniru orang, dia seorang daripada mereka." (Hadis riwayat Abu Daud).

Prof Undang-Undang Perbandingan Universiti al-Azhar, Dr Sabri Abdul-Ra'oof, menyatakan Islam adalah satu ajaran universal yang sah bagi semua orang di semua zaman.

Islam katanya, tidak sekali-kali melarang sesuatu kecuali ia bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

"Demikian itu, ia adalah tugas Muslim untuk mengikuti contoh orang yang betul dan tidak membenarkan mana-mana perkara bidaah dalam Islam. Dengan itu, dia tidak meletakkan tabiat ganjil bukan Muslim dalam gaya rambut mereka.

"Ijmak ahli perundangan bersetuju yang qaz' (mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan yang lain) adalah dilarang kerana Nabi s.a.w memberikan ingatan terhadap larangannya, dengan bersabda: "Cukur semua atau tinggalkan ia semua."

Imam Ibn Hajar Al-'Asqalani melaporkan dalam kitabnya, Fathul-Bari, yang mana Abu Daud menyatakan Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Qaz' ialah tabiat orang Yahudi."

Bagi remaja Muslim, sudah semestinya mengikuti gaya yang sesuai dengan agama dan norma masyarakat, sekali gus melupakan angan-angan untuk meniru rupa rambut golongan bukan Islam.

Memang benar rambut adalah kebebasan peribadi, tetapi seseorang itu sewajarnya menggunakan kebebasan pada tujuan yang lebih berfaedah untuk diri dan masyarakat, bukannya yang meruntuhkan nilai agama serta masyarakat.

Dalam soal ini, Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya menyatakan pendapat yang lebih tegas, dengan katanya, pemuda yang berambut panjang, beraksi pondan, bergaya seperti wanita serta menyerupai wanita adalah peniruan membuta tuli.

"Nabi memanjangkan rambut, baginda tidak keluar di hadapan orang ramai dengan kepalanya terdedah, malah dia memakai serban, iaitu mahkota kenabian dan syiar Islam," katanya.

Menurutnya, memanjangkan rambut pada hari ini melambangkan syiar anak tepi jalan dan tanda keruntuhan moral.

"Bukankah tabiat memanjangkan rambut dan membiarkannya panjang hingga kepada kedua-dua bahu itu suatu penyerupaan yang nyata dengan wanita, sedangkan Allah melaknati lelaki yang menyerupai wanita."