Thursday, March 01, 2007

Hudzaifah Ibnul Yaman (siri akhir)

Hudzaifah berkata, "Malam itu kami (tentera muslimin) duduk berbaris, Abu Sufyan dengan dua baris pasukannya, kaum musyrikin Mekah mengepung kami sebelah atas. Orang-orang Yahudi Bani Quraizhah berada di sebelah bawah. Apa yang kami khuatirkan ialah serangan mereka terhadap para wanita dan anak-anak kami. Malam sangat gelap. Belum pernah kami alami gelap malam yang sepekat itu, sehingga tidak dapat melihat anak jari sendiri. Angin bertiup sangat kencang, sehingga desirannya menimbulkan suara bising yang memekakkan.
Orang-orang lemah iman, dan orang-orang munafik minta izin pulang kepada Rasulullah, dengan alasan rumah mereka tidak terkunci. Padahal, sebenarnya rumah mereka terkunci. Setiap orang yang minta izin pulang diberi izin oleh Rasulullah, tidak ada yang dilarang atau ditahan beliau. Semuanya keluar dengan sembunyi-sembunyi, sehingga kami yang tetap bertahan hanya tinggal 300 orang. Rasulullah berdiri dan berjalan memeriksa kami satu per satu. Semasa beliau hampir di sisiku, aku sedang meringkuk kedinginan. Tidak ada yang melindungi tubuhku dari udara dingin yang menusuk-nusuk, selain sehelai kain kepunyaan isteriku, yang hanya dapat menutupi hingga lutut.
Beliau mendekatiku yang sedang menggigil, seraya bertanya, "siapa ini?".
"Hudzaifah!" jawabku.
"Hudzaifah?” tanya Rasulullah minta kepastian. Aku merapat ke tanah, sulit untuk berdiri kerana sangat lapar dan dingin.
"Betul, ya Rasulullah!" jawabku.
"Ada beberapa peristiwa yang dialami musuh. Pergilah engkau ke sana dengan sembunyi-sembunyi untuk mendapatkan data-data yang pasti, dan laporkan kepadaku segera …!" kata beliau memerintah.
Aku bangun dengan ketakutan dan kedinginan yang sangat menusuk. Maka, Rasulullah berdoa, "Wahai Allah! lindungilah dia, dari hadapan, dari belakang, kanan, kiri, atas, dan dari bawah." Demi Allah! sesudah Rasulullah saw. selesai berdoa, ketakutan yang menghantui dalam dadaku dan kedinginan yang menusuk-nusuk tubuhku hilang seketika, sehingga aku merasa segar dan perkasa. Tatkala aku memalingkan diriku dari Rasulullah, beliau memanggilku dan berkata,
"Hai, Hudzaifah! sekali-kali jangan melakukan tindakan yang mencurigakan mereka sampai tugasmu selesai, dan kembali kepadaku!" Jawabku,
"Saya bersedia, ya Rasulullah!". Lalu, aku pergi dengan sembunyi-sembunyi dan cukup berhati-hati, dalam kegelapan malam yang hitam kelam. Aku berhasil menyusup ke pusat pertahanan musuh dengan berlagak seolah-olah aku anggota pasukan mereka. Belum lama aku berada di tengah-tengah mereka, tiba-tiba terdengar Abu Sufyan memberi arahan. Ia berkata,
"Hai, pasukan Quraisy! dengarkan apa yang ingin aku sampaikan kepada kalian semua!. Aku sangat khuatir, sekiranya pembicaraanku ini sampai terdengar oleh Muhammad. Kerana itu, telitilah lebih dahulu setiap orang yang berada di samping kalian masing-masing!"
Mendengar ucapan Abu Sufyan, aku segera memegang tangan orang yang di sampingku seraya bertanya,
"Siapa kamu?" Jawabnya, "Aku si Anu, anak si Anu!" Sesudah dirasanya aman, Abu Sufyan melanjutkan bicaranya,
"Hai, pasukan Quraisy! demi Tuhan! Sesungguhnya kita tidak dapat bertahan di sini lebih lama lagi. Haiwan-haiwan tunggangan kita telah banyak yang mati. Bani Quraizhah pula khianat meninggalkan kita. Angin taufan menyerang kita dengan ganas seperti yang kalian rasakan. Kerana itu, berangkatlah kalian sekarang dan tinggalkan tempat ini. Sesungguhnya aku sendiri akan berangkat."
Selesai berkata demikian, Abu Sufyan kemudian mendekati untanya, melepaskan tali penambat, lalu dinaiki dan dipukulnya. Unta itu bangun dan Abu Sufyan langsung berangkat. Seandainya Rasulullah tidak melarangku melakukan suatu tindakan di luar perintah sebelum datang melapor kepada beliau, sungguh telah kubunuh Abu Sufyan dengan pedangku. Aku kembali ke pos komando menemui Rasulullah. Kudapati beliau sedang solat di tikar kulit, milik salah seorang isterinya.
Tatkala beliau melihatku, didekatkan kakinya kepadaku dan dihulurkan hujung tikar menyuruhku duduk di dekatnya. Lalu, kulaporkan kepada beliau segala kejadian yang kulihat dan kudengar. Beliau sangat senang dan bersuka hati, serta mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT.
Hudzaifah Ibnul Yaman sangat cermat dan teguh memegang segala rahsia mengenai orang-orang munafik selama hidupnya, sampai kepada seorang khalifah sekalipun yang cuba mengorek rahsia darinya, tetap dia tidak mahu membocorkannya. Khalifah Umar bin Khathtab r.a. apabila ada orang muslim yang meninggal, dia akan bertanya,
"Apakah Hudzaifah turut menyolatkan jenazah itu ?" Jika mereka menjawab, "Ada," beliau turut menyolatkannya. Suatu ketika, Khalifah Umar pernah bertanya kepada Hudzaifah dengan cerdik,
"Adakah di antara pegawai-pegawaiku orang munafik?"tanya Khalifah Umar. Jawab Hudzaifah,"Ada seorang!".
"Tolong tunjukkan kepadaku siapa?" kata Umar. Hudzaifah menjawab, "Maaf Khalifah, saya dilarang Rasulullah mengatakannya. Seandainya kutunjukkan, tentu Khalifah akan langsung memecat pegawai yang bersangkutan," kata Hudzaifah bercerita.
Namun begitu, amat sedikit orang yang mengetahui bahwa Hudzaifah Ibnul Yaman sesungguhnya adalah pahlawan penakluk Nahawand, Dainawar, Hamadzan, dan Rai. Dia membebaskan kota-kota tersebut bagi kaum muslimin dari genggaman kekuasaan Persia yang bertuhankan berhala. Hudzaifah juga termasuk tokoh yang menyusun keseragaman mushhaf Alquran, sesudah kitabullah itu beraneka ragam coraknya di tangan kaum muslimin.
Dan Hudzaifah, hamba Allah yang sangat takut kepada Allah, dan sangat takut akan siksanya. Ketika Hudzaifah sakit keras menjelang ajalnya tiba, beberapa orang sahabat datang mengunjunginya pada tengah malam. Hudzaifah bertanya kepada mereka,
"Pukul berapa sekarang?" Mereka menjawab,
"Sudah dekat Subuh." Hudzaifah berkata,
"Aku berlindung kepada Allah dari Subuh yang menyebabkan aku masuk neraka." Ia bertanya kembali,
"Adakah tuan-tuan membawa kafan?" Mereka menjawab, "Ada." Hudzaifah berkata,
"Tidak perlu kafan yang mahal. Jika diriku baik dalam penilaian Allah, Dia akan menggantinya untukku dengan kafan yang lebih baik. Dan jika aku tidak baik dalam pandangan Allah, Dia akan menanggalkan kafan itu dari tubuhku." Sesudah itu dia berdoa kepada Allah,
"Wahai Allah! sesungguhnya Engkau tahu, aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah, aku lebih suka mati daripada hidup." Sesudah berdoa rohnya pun diangkat. Seorang kekasih Allah kembali kepada Allah dalam kerinduan. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya. Wallahu a'lam bish-shawab.

Sumber: Kepahlawanan Generasi Sahabat Rasulullah, Abdulrahman Ra'fat Basya

No comments: