Saturday, June 10, 2006

Imam Hassan al-Banna (3)


Penubuhan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah.

Sebaik sahaja Imam Hasan Al-Banna menamatkan pengajian­nya di Darul Ulum, Kaherah, beliau telah dilantik menjadi guru di sebuah sekolah di Ismailiah (iaitu pada tahun 1927). Di Ismailiah, beliau mula mencari peluang untuk melancarkan usaha dakwahnya. Selepas mengkaji suasana di Ismailiah dengan teliti, beliau pun mengambil keputusan tidak akan berdakwah kepada para pengun­jung masjid. Beliau memilih kedai-kedai kopi dan tempat-tempat lain yang seumpama itu sebagai sasaran dakwahnya.

Dalam masa yang singkat sahaja, Imam Hasan Al-Banna telah berjaya menawan hati para penduduk Ismailiah. Beliau juga berpeluang melihat sendiri kebiadapan penjajah ketika memerintah Ismailiah. Ismailiah ialah kubu tentera British. Hasan al-Banna ben­ci dengan keadaan politik yang wujud di Ismailiah ketika itu. Ada dua tugas penting menunggunya.
Pertama, beliau perlu meng­hilangkan pengaruh kuasa penjajah. Yang kedua pula beliau harus berdakwah untuk menjelaskan dasar-dasar Islam kepada para pen­duduk Ismailiah. Kebanyakkan masanya adalah di dalam me­laksanakan tugas tadi. Usahanya itu telah mendatangkan hasil yang baik.
Akhir sekali, 'al-ikhwanul muslimin' pun ditubuhkan di rumahnya. Ikhwanul Muslimin bertujuan membawa pembaharuan Islam kepada kehidupan perseorangan dan masyarakat Ismailiah. Penekanan A1-Ikhwanul Muslimin ialah kepada pengislaman masyarakat Mesir seluruhnya.

Hasan Al-Banna menggunakan empat cara dalam melaksanakan tugasnya di Ismailiah. Langkah pertama ialah menjadikan setiap orang perseorangan itu Muslim yang sebenar. Langkah kedua ialah mewujudkan keluarga Muslim yang sebenar. Langkah ketiga pula ialah mendirikan sebuah Ummatul Muslimin (masyarakat Islam sebenar). Manakala langkah keempat ialah menegakkan sebuah negara Islam sejagat di Mesir. Selepas penubuhan A1-Ikhwan Muslimin, Imam Hasan Al-Banna tinggal di Ismailiah selama lima tahun. Beliau telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat Ismailiah sepanjang tempoh tersebut. Sebuah pusat gerakan dan masjid yang diberi nama 'Darul Ikhwan' telah didirikan di Ismailiah dalam tempoh dua tahun sahaja.
Cawangan-cawangan Ikhwanul Muslimin telah dibuka di Abu Suwair, Pelabuhan Said, Balah dan Syabrakhit. Sebuah cawangan telah dibuka di Suez pada tahun ketiganya. Pada tahun keempat, sepuluh cawangan lagi telah dibuka. Sebuah sekolah lelaki yang diberi nama 'Sekolah Hira' dan sebuah sekolah perempuan yang diberi nama 'Sekolah Ummatul Mu'minin' telah didirikan di Ismailiah. Setiap cawangan Ikhwan membina masjid sendiri dan kadang kala kelab Ikhwan juga didirikan.

Penukaran Imam Hasan Al-Banna ke Kaherah.

Dalam tahun 1933, Imam Hasan Al-Banna meminta ditukarkan ke Kaherah. Beliau ingin menjadikan Kaherah sebagai gerakan Ikhwanul Muslimin. Oleh itu, beliau menjalankan usaha yang gigih untuk mencapai tujuan itu. Berikut ini ialah kata-kata Hasan Al­-Banna sendiri yang ditulisnya dalam tahun 1934:

"Risalah dan fahaman Ikhwan telah merebak ke lebih lima puluh tempat di Kaherah. Penubuhan cawangan-cawangan ini telah diikuti oleh pelancaran rancangan-rancangan yang berfaedah. Contohnya di Ismailiah, sebuah masjid telah dibina beserta pusat gerakan Ikhwan. Di samping itu, sebuah kelab dan sekolah Latihan Kemahiran (vokasional) telah didirikan di Syabrakhit. Para penun­tut yang tidak berupaya menamatkan pengajian mereka dibenarkan masuk ke sekolah Latihan Kemahiran. Berikutan itu, sebuah kilang kain dan sebuah kilang permaidani telah dibina di Mahmoodiyah. Di samping itu, sebuah Madrasah untuk mengajar Al-Quran dan As-Sunnah juga telah dibuka di Mahmoodiyah. Madrasah yang serupa juga telah dibuka di Daqahliyah."

Gerakan yang berjaya

Pada mulanya kegiatan pimpinan Imam Hasan Al-Banna terhad kepada usaha pembaharuan masyarakat umum sahaja. Tetapi dalam tahun 1935, Imam Hasan Al-Banna mula bergiat dalam politik. Beliau memberi syarahan-syarahan dan menulis surat menyeru pihak kerajaan agar menumpukan perhatian kepada usaha pembaharuan masyarakat. Isi surat-surat tersebut membayangkan keinginannya hendak membawa perubahan menyeluruh dalam corak pendidikan, ekonomi, masyarakat dan politik agar bertepatan dengan dasar-dasar Islam. Hasan Al-Banna meneruskan perjuangannya semenjak zaman Muhammad Mahmood Pasya sehinggalah ke detik pecahnya Perang Dunia Kedua. Al-Ikhwanul Muslimin menjadi sebuah gerakan revolusi sepenuhnya dalam tahun 1938. Pada tahun yang sama, Hasan Al-Banna pernah berkata:

"Gerakan ini berlandaskan rancangan-rancangan yang men­cakupi setiap sudut pembaharuan masyarakat. Ikhwan ialah sebuah gerakan keagamaan kerana ia mempertahankan Al-Quran dan As-Sunnah di mana setiap ahlinya berusaha dengan gigihnya untuk mengikuti Sunnah Rasulullah (s.a.w.). Ikhwan juga adalah satu rangkaian tasawwuf kerana ia tahu, bahawa setiap perkara yang baik itu berdasarkan taqwa dan kecin­taan kepada Allah. Ikhwan juga ialah sebuah pertubuhan politik kerana ia ingin pembaharuan politik berlaku di dalam dan di luar negeri. Ia ingin melatih negara (Mesir) supaya mendapat tempat yang mulia dan tinggi di dunia. Ia merupakan satu kumpulan latihan jasmani di mana para anggotanya menjalani latihan jasmani secara berpasukan untuk memelihara kesihatan mereka. Mereka juga mengadakan pertandingan dengan pasukan-pasukan lain. Ikhwan juga ialah sebuah pertubuhan yang terlibat dalam pendidikan dan kebudayaan yang sihat.
Katanya lagi,"Ikhwan Muslimin merupakan Bank Ker­jasama Kewangan kerana Islam juga mampu menyelesaikan masalah kewangan. Al-Ikhwanul Muslimin berusaha membuka bank-bank Islam dan mengukuhkan ekonomi negara. Ikhwan juga merupakan satu pertubuhan kemasyarakatan kerana para anggotanya men­jalankan usaha mengesan kemungkaran-kemungkaran di dalam masyarakat dan mengemukakan cara-cara untuk mengatasi atau menyelesaikan masalah tersebut."

Kemajuan Gerakan Ikhwanul Muslimin.

Muhammad Syauqi Zaki menulis seperti berikut: "Dari tahun 1939 sehinggalah tahun 1945, Ikhwanul Muslimin telah memasuki satu tahap baru dalam arena politik. Kegiatan dan rancangannya telah berkembang luas dengan kadar yang luarbiasa sekali. Ramai penuntut Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah memasuki Al-Ikhwanul Muslimin. Di samping itu, buruh-buruh, para saudagar, guru-guru. Para doktor dan peguam juga turut menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin. Justeru itu, Al-Ikhwanul Muslimin merupakan satu gerakan yang mewakili hampir semua peringkat masyarakat. Di samping usaha membaiki keadaan ekonomi negara, Ikhwanul Muslimin juga terlibat di dalam kegiatan sukan dan latihan jasmani. Semua cawangan Ikhwan di Mesir mempunyai jentera pentadbiran yang tersusun rapi dan berjalan lancar. Akhirnya, Al-Ikhwanul Muslimin menjadi satu gerakan yang disegani." (Al-Ikhwanul Muslimin Wal Mujtami' al Misri).

Dalam tempoh ini juga (1939-1945), Ikhwan terpaksa menghadapi berbagai kesukaran. Ianya bermula di zaman pemerin­tahan Sirri Pasya. Kedutaan British dan Pemerintahan Tertinggi British mengenakan tekanan terhadap Kerajaan Mesir agar me­ngawal pertumbuhan pesat gerakan Ikhwan. Berikutan itu, dua ma­jalah mingguan Ikhwan, iaitu 'al-syu'a' dan 'at-ta'aruf' telah diharamkan. Alat percetakannya dirampas dan semua akhbar telah dilarang menerbitkan sebarang berita mengenai kegiatan Ikhwan. Pihak kerajaan juga tidak membenarkan Ikhwan mengadakan sebarang mesyuarat atau perjumpaan di seluruh negara. Akhirnya pihak kerajaan menyusun rancangan untuk mengasing-asingkan para pemimpin Ikhwan.
Imam Hasan Al-Banna yang masih bertugas sebagai guru itu telah ditukarkan (dari Kaherah) ke Qina. Setiausaha Agung Ikhwan telah ditukarkan ke Damyat. Apabila Parlimen Mesir membantah, mereka pun dipanggil semula. Mereka telah ditangkap sebaik sahaja mereka tiba di Kaherah. Namun begitu, suasana ketika itu memaksa pihak berkuasa membebaskan mereka selepas beberapa waktu.

Apabila Nihas Pasya memegang teraju pemerintahan, beliau menunjukkan sikap yang lembut terhadap Ikhwan. Dalam tahun 1944, Nihas Pasya telah dipecat dan kekuasaan telah beralih ke tangan Ahmad Mahir Pasya. (Ahmad Mahir Pasya gerakan Ikhwan.) Beliau juga mengisytiharkan perang terhadap Itali dan Jerman atas desakan British. Ikhwan membangkang keputusan tersebut dan meminta ianya ditarik balik. Tidak lama kemudian, seorang lelaki bernama Alyeeswi telah membunuh Ahmad Mahir Pasya. Nuqrasyi Pasya menggantikan tempat Ahmad Mahir Pasya. Beliau menang­kap Imam Hasan Al-Banna, Setiausaha Agung Ikhwan dan para pemimpin Ikhwan yang lain.


Gerakan Menentang Penjajahan British.

Sebaik saja Perang Dunia Kedua berakhir dalam tahun 1945, pihak Ikhwan terpaksa menghadapi beberapa masalah yang genting. Kerajaan British berjanji hendak memberi kemerdekaan kepada Mesir jika ia menyebelahi British di dalam Perang Dunia Kedua. Selesai saja Perang Dunia Kedua, Ikhwan Muslimin menjalankan usaha besar-besaran menentang pihak British dan mendesaknya supaya menunaikan janji yang telah dibuatnya. Disamping itu, Ikhwan juga memulakan kegiatannya di dalam keadaan baru di Mesir.

Pada 8hb Oktober, 1945, Ikhwan telah mengadakan satu mesyuarat agung. Beberapa pindaan perlembagaan telah dibuat un­tuk menyesuaikannya dengan keadaan yang telah berubah itu. Ikhwan juga telah menubuhkan beberapa syarikat baru dan hal ini telah menambahkan lagi pendapatannya. Pihak Ikhwan juga mener­bitkan akhbar harian bernama 'al-Ikhwan'. Pasukan sukarelawan Ikhwan juga telah disusun. Pusat latihan ketenteraan telah dibuka di berbagai tempat di Mesir. Pihak Ikhwan telah menjalankan usaha yang ikhlas untuk menyatu-padukan negara-negara Arab. Tugas dan tanggungjawab telah dibahagi-bahagikan. Para anggota Ikhwan memperbaharui bai'ah (sumpah setia) mereka dengan Hasan Al­-Banna dan memilihnya sebagai pemimpin seumur hidup.

Ikhwan Muslimin kian maju.

Kemajuan A1-Ikhwan Muslimin telah dicatitkan oleh Muham­mad Syauqi Zaki seperti berikut:
'Di Mesir saja, jumlah anggota Ikhwan yang betul-betul bergiat (aktit) menjangkau angka setengah juta (yakni 500,000) orang. Jumlah penyokong dan pembantu pula melebihi setengah juta orang. Terdapat dua ribu cawangan di Mesir dan lima puluh cawangan di Sudan. Banyak lagi cawangan dibuka di negara-negara Arab yang lain."

Penglibatan Al-Ikhwan dalam Perang Palestin.

Imam Hasan Al-Banna mengisytiharkan jihad terhadap British ketika Nuqrasyi Pasya memerintah Mesir. Hal ini membangkitkan semangat kemerdekaan di seluruh negara. Kerajaan Nuqrasyi Pasya tidak mampu menghadapi gerakan Ikhwan dan terus meletak jawatan. Teraju kerajaan seterusnya diambil alih oleh Ismail Sidqi Pasya. Beliau juga menzalimi dan menindas Al-Ikhwanul Muslimin. Akhirnya, Ismail Sidqi Pasya juga meletak jawatan.
Sekali lagi Nu­qrasyi Pasya mengambil alih kerajaan pada lOhb Disember, 1946. Berlakulah pertentangan antara pihak Ikhwan yang memper­juangkan kebebasan dengan Nuqrasyi Pasya dan pihak British. Pertentangan antara kedua pihak ini memakan masa yang lama dan merumitkan lagi masalah Palestin.

Ikhwan ialah pembela Palestin yang utama. Ikhwan telah mengadakan satu perarakan besar-besaran pada 12hb Disember, 1947. Perarakan itu bermula di Universiti Al-Azhar di bawah pimpinan Imam Hasan Al-Banna. Beliau menaiki sebuah kereta sambil membawa satu pembesar suara untuk memberi arahan. Dalam satu mesyuarat pada 6hb Mei 1948 pihak Ikhwan telah mendesak Mesir dan negara-negara Arab lain supaya mengisytihar jihad terhadap Israel serta menggunakan apa saja cara yang mungkin untuk menyelamatkan Palestin daripada kepupusan.

Al-Ikhwan telah menghantar beribu-ribu mujahidin (sukarelawan) ke Palestin tanpa menunggu pihak lain berbuat demikian. Mereka telah berjuang dengan berani sekali sehingga dapat memberi tentangan yang sangat hebat kepada Yahudi dan British. Keadaan ini membimbangkan Nuqrasyi Pasya. Beberapa kedutaan asing telah mengadakan mesyuarat di kubu tentera British di Mesir dan sebulat suara mendesak Nuqrasyi Pasya mengharamkan Ikhwan kerana hebatnya kemampuan Ikhwan menentang Yahudi. Imam Hasan Al-Banna selalu menghantar kumpulan-kumpulan pejuang (mujahidin) ke Palestin untuk berjihad. Akhirnya Nuqrasyi Pasya mengharamkan Al Ikhwan Muslimin di bawah Undang-undang Tentera nombor 73 lantaran tekanan dan desakan daripada kuasa­-kuasa asing.
bersambung lagi...

No comments: