Saturday, June 10, 2006

Imam Hassan Al-Banna (2)

Hasil Tulisan Imam Hasan Al-Banna.

Imam Hasan Al-Banna adalah seorang pendakwah Islam dan juga tokoh pembaharuan. Beliau tidak menurut cara-cara Syed Rasyid Ridha. Hasan Al-Banna himpunkan sekumpulan orang-orang Islam yang berwibawa serta mempunyai kesanggupan untuk hidup dan mati dalam memperjuangkan Islam. Beliau ingin menegakkan cara hidup Islam di Mesir.
Lantaran itu, beliau menumpukan lebih banyak masanya di sudut amali gerakannya, iaitu memberi latihan akhlak dan rohani kepada para anggota Ikhwan. Pernah beliau ditanya, “Mengapakah awak tidak mengarang buku?” Imam Hasan Al-Banna menjawab, “Saya ‘menulis’ manusia.” Ini bermakna beliau melatih manusia dari segi akhlak dan ilmu untuk perjuangan Islam. Walau bagaimanapun beliau ada menulis beberapa buah buku berikut.

I. Muzakirat ad-Da'awah wa-Dai'yiah' (Catatan Dakwah dan Pendakwah).

Inilah hasil karyanya yang terulung. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama menyentuh kehidupan peribadinya dan bahagian kedua pula ialah mengenai kegiatan Ikhwanul Muslimin.
II. Risaail Al-Imamu-Syahid.

Buku ini ialah himpunan beberapa makalah yang disusunnya pada waktu-waktu tertentu sepanjang hayatnya. Buku ini terbahagi kepada tajuk-tajuk yang berikut:
1) ‘Risalatu-Ta'alim’

Buku kecil ini mengandungi arahan-arahan yang diberinya kepada orang-orang yang memasuki gerakan Ikhwanul Muslimin. Ia ditunjukkan kepada para ahli Ikhwanul yang telah berbai'ah. Dalam buku kecil ini, dia menjelaskan sepuluh dasar bai'ah.

Seterusnya Imam Hasan Al-Banna menerangkan segala kewa­jipan ahli-ahli Ikhwan di dalam semua bidang kehidupan selepas sahaja melakukan bai'ah. Beliau juga menetapkan peraturan-­peraturan yang perlu diikuti dan yang patut ditinggalkan.

2) ‘Risalah Jihad’

Makalah ini menerangkan kewajipan, kepentingan dan kelebihan Jihad. Imam Hasan Al-Banna menulis makalah ini ketika para sukarelawan Ikhwanul Muslimin melancarkan Jihad terhadap Yahudi Palestin. Manakala ini merupakan panduan untuk para mu­jahidin Islam.
3) ‘Da'watuna Fi Taauri Jadid’

Makalah ini bermaksud ‘Dakwah kami di tahap baru’. Makalah ini ditulis ketika gerakan Ikhwanul Muslimin sedang pesat berkem­bang dan ramai para belia sedang menganggotainya. Para penentang juga menyatakan keraguan mereka terhadapnya. Imam Hasan Al-Banna juga menjelaskan, setiap kecaman yang ditunjukkan kepada Ikhwan oleh para penentangnya. Beliau menerangkan bahawa gerakan Ikhwan ini tidak terhad kepada mana-mana kum­pulan tertentu tetapi ia sebenarnya adalah bercorak sejagat dan merangkumi seluruh umat manusia. Beliau juga menerangkan bahawa gerakan Ikhwan berdasarkan iman dan akal.
Makalah ini juga menerangkan pendapat Ikhwan mengenai fahaman kebangsaan Mesir, fahaman kebangsaan Arab, fahaman Orientalisme (Ketimuran) dan fahaman Universalisme (kesejagatan) yang sedang melanda Mesir. Berhubung dengan perkara ini, Ikhwan berpendapat seperti berikut:

‘Kami ingin menegakkan sebuah negara Islam di Mesir. Negara Islam ini akan mengamalkan dasar-dasar Islam; menyatukan orang­-orang Arab dan memelihara kebajikan mereka dan menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia daripada penindasan dan kekejaman. Di samping itu, negara Islam ini akan menyebarkan Islam dan menguatkuasakan undang-undang Allah.’
Di akhir makalah ini, Hasan Al-Banna menyatakan hasratnya hendak membina sebuah masyarakat yang terdiri daripada orang­-orang perseorangan dan keluarga-keluarga yang berpegang teguh kepada Islam.
4) ‘Ar-Risail Ats-Tsalaasah’

Karya Hasan Al-Banna yang ini pula terdiri daripada tiga makalah. Tajuk makalah yang pertama ialah ‘Apakah tugas kita?’. Tajuk makalah yang kedua ialah ‘Ke arah mana kita menyeru manusia’. Tajuk makalah yang ketiga pula ialah ‘Risalah Cahaya’. Sebenarnya makalah yang ketiga itu ialah surat Hasan AI-Banna kepada Raja Mesir Shah Faruq, Perdana Menteri Mesir Nihas Pasya dan para pemimpin negara-negara Muslim yang lain. Surat tersebut ditulis dalam tahun 1936.
Surat ini menerangkan dengan panjang dasar-dasar Islam, kebudayaan dan tamadun Islam. Beliau menyatakan kesalnya kerana orang-orang Islam telah mengamalkan cara hidup Barat sedangkan mereka mempunyai dasar fahaman (ideologi) mereka sendiri yang lebih hebat. Beliau juga membuat perbandingan antara cara hidup Islam dengan cara hidup Barat. Sebagai kesimpulan, beliau menegaskan bahawa hanya Islam sahajalah yang merupakan penyelesaian kepada segala masalah dan ia juga boleh menjamin kemajuan dan kebahagian kepada sesebuah negara. Akhir sekali beliau memberi lima puluh cadangan. Sepuluh cadangan berkaitan dengan politik, perundangan dan pentadbiran. Tiga puluh cadangan menyentuh dasar-dasar kemasyarakatan dan pendidikan. Sepuluh cadangan yang terakhir itu berhubung dengan masalah ekonomi.
5) ‘Antara semalam dan hari ini’

Makalah ini ialah yang pertama sekali ditulis oleh Imam Hasan Al-Banna. Ianya ditulis sejurus sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama. Dalam makalah ini, beliau menerangkan dasar-dasar Islam dan ciri-ciri pembaharuan ummah. Pada peringkat awal, beliau membincangkan negara Islam pertama yang berlandaskan Al-Quran di bawah pimpinan baginda Rasulullah (s.a.w.) sendiri. Berikutnya, beliau menyentuh sebab-sebab kejatuhan umat Islam. Akhirnya, beliau mengatakan bahawa Ikhwanul Muslimin mengajak manusia kepada kesejahteraan yang berkekalan.
6) ‘Risalatul Mu'tamar Kelima’

Makalah ini merupakan syarahan Hasan Al-Banna di dalam Muktamar Kelima Ikhwanul Muslimin. Dalam syarahannya ini beliau menilai kembali pencapaian Ikhwanul Muslimin sepanjang sepuluh tahun yang lepas.

Tiga perkara telah dibincangkan:

i) Matlamat Ikhwanul Muslimin dan corak (uslub) dakwahnya;
ii) Dasar-dasar dan cara-cara Ikhwanul Muslimin;
iii) Sikap dan dasar Ikhwanul Muslimin terhadap berbagai per­tubuhan dan dasar-dasar fahaman lain di Mesir.
7) ‘Ikhwanul Muslimin di bawah panji-panji Al-Quran’

Makalah ini merupakan syarahan Imam Hasan Al-Banna pada 4hb April, 1939 M., di perhimpunan agung Ikhwanul Muslimin yang diadakan di ibu pejabat Ikhwan di Kaherah. Dalam syarahan ini, matlamat dan tujuan Ikhwan telah dijelaskan. Beliau juga membincangkan tugas serta kewajipan para belia. Makalah ini juga mengemukakan saranan supaya dilakukan pemberontakan terhadap kuasa-kuasa penjajah yang sedang menghancurkan masyarakat Mesir.
8) ‘Masalah kita segi kaca mata Islam’.

Imam Hasan Al-Banna manulis makalah ini selepas tertubuhnya negara Pakistan. Beliau membincangkan masalah-masalah politik negara Mesir dan negara-negara Islam yang lain. Turut dibincangkan ialah negara baru Pakistan yang sedang diancam oleh India dengan bantuan pihak Komunis. Beliau membahagikan masalah yang dihadapi oleh negara Mesir kepada dua bahagian. Di samping itu, beliau juga membentangkan cara-cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dalam bahagian pertama, beliau membincangkan segala keburukan yang ada corak kerajaan waktu itu dan kemudian beliau memberi penyelesaian kepada masalah tersebut menurut dasar-dasar Islam. Dalam bahagian kedua, dasar ekonomi diperbincangkan. Seterusnya, beliau menghuraikan sistem ekonomi Islam dan penyelesaian kepada masalah ekonomi Barat.
III Syarahan-syarahan Imam Hasan AI-Banna.

Buku ini mengandungi syarahan-syarahan dan kuliah-kuliah Hasan al-Banna. Ia merupakan satu khazanah ilmu.
IV Maqalat Hasan AI-Banna.

Buku ini ialah himpunan nasihat-nasihat dan arahan-arahan Imam Hasan Al-Banna kepada sahabat-sahabat dan para anggota Ikhwanul Muslimin
V AI-Ma'thurat.

Buku ini ialah himpunan do'a-do'a dan zikir yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri. Ia dibaca beramai-ramai oleh para anggota Ikhwan sebelum solat Maghrib. Ia merupakan pembaharuan ikrar mereka kepada Allah dalam menjalankan dakwah Islamiah.

Syahidnya Imam Hasan AI-Banna.

Imam Hasan Al-Banna menjalani kehidupan yang penuh cabaran semenjak kecil sehinggalah beliau menemui ajalnya. Beliau tiada mempunyai rehat langsung. Keseluruhan hidupnya ditumpukan kepada perjuangan Islam dan kebajikan orang-orang Islam. Beliau khusyu' beribadat kepada Allah dan selalu mengkaji Al-Quran ser­ta Hadith.

Tokoh Islam yang hebat ini mati syahid ditembak pada 12hb Februari, 1949 di Kaherah. Umurnya ketika itu ialah 43 tahun.

Dalam umurnya yang begitu singkat, Imam Hasan Al-Banna telah melancarkan satu gerakan Islam yang benar yang mem­pengaruhi seluruh Dunia Islam. Gerakan ini membawa perubahan hebat kepada Dunia Arab. Ia telah menegakkan semula kebenaran dan kekuatan Islam. Hasan Al-Banna adalah seorang yang ber­wibawa dan berhati tabah. Beliau memiliki peribadi Muslim sejati. Setiap tindakannya melambangkan ciri-ciri hidup Islam. Syeikh Muhammad A1-Ghazali, seorang ulamak besar Mesir, telah memuji Hasan Al-Banna dengan berkata demikian:

‘Peluru telah menembusi jasad Hasan Al-Banna yang kurus dan lemah kerana banyak bersolah dan berzikir kepada Allah. Jasad­nya itu juga penuh dengan debu lantaran pengembaraannya di jalan Allah. Dahinya melambangkan kebiasaannya dalam memberi pengorbanan-pengorbanan yang besar. Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda yang bermaksud; "Apabila seorang Mukmin meninggal dunia, dia dibebaskan dari dunia dan dipindahkan ke dunia lain yang penuh nikmat dan kegembiraan."

Peranan keluarga Hasan Al-Banna dalam membina ketokohannya.

Seseorang yang dipilih Allah untuk menegakkan agama (ad-­Din)-Nya akan diberi-Nya nilai-nilai peribadi yang melayakkan orang itu melaksanakan tugas berat tadi. Nilai-nilai peribadi itu akan dipupuk semenjak peringkat kanak-kanak lagi. Di antara contoh ter­baik di zaman kebelakangan ini ialah As-Syahid Imam Hasan Al­-Banna. Semenjak beliau kanak-kanak lagi, beliau sudah memiliki peribadi yang mulia dan wara'. Nilai peribadi ini semakin matang setelah beliau meningkat dewasa. Beliau benci kepada maksiat dan kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan Islam sejak di peringkat awal lagi.
Imam Hasan AI-Banna dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mulia. Keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana dan mengamalkan Islam di segenap sudut kehidupan mereka. Mereka hidup bebas daripada gejala maksiat yang terdapat di bandarayanya. Bapanya berkelulusan Universiti Al-Azhar dan sangat alim dalam Hadith dan ilmu Fiqh. Imam Hasan Al-Banna menerima pendidikan bercorak agama dan moden. Adiknya, Abdur-Rahman Al-Banna menyebut mengenainya seperti berikut:

‘Abangku yang dihormati. Ketika kau berumur sembilan tahun, saya baru menjangkau umur tujuh tahun. Kita mengaji Al-Quran dan belajar menulis di sekolah. Apabila kau berjaya menghafal dua pertiga Al-Quran saya mampu menghafal sehingga Surah At­Taubah. Ketika kita pulang dari sekolah, bapa kita menyambut dengan penuh kasih sayang. Bapa kita yang dikasihi mengajar kita sirah (riwayat hidup) Rasulullah (s.a.w.), ilmu Fiqh dan nahu. Bapa kita telah menyediakan jadual pengajian kita ketika di rumah. Kau belajar ilmu Fiqh Imam Abu Hanifa manakala saya belajar ilmu Fiqh Imam Malik. Di segi ilmu nahu, kau belajar kitab ‘Alfiyah’ dan saya pula belajar kitab ‘MalhamatulArab’.
Corak pengajian kita itu memerlukan kita mengulangkaji pela­jaran bersama-sama dan bekerja keras. Justeru itu, kita terpaksa menyediakan jadual dan senarai kerja harian. Duhai abangku! Dalam hidupku, tidak pernah saya melihat orang yang begitu banyak berpuasa dan bersolah seperti kau. Kau bangun waktu sahur dan bersolah. Kemudian kau mengejutkan saya daripada tidur untuk menunaikan solah subuh. Selepas solah, kau membaca senarai ker­ja harian. Suara kau yang manis dan penyayang itu masih bergema di telinga saya. Kau pernah berkata, ‘Pukul tujuh hingga enam pagi ialah masa mengaji Al-Quran; pukul enam hingga pukul tujuh pagi ialah masa untuk belajar tafsir Al-Quran dan Hadith; pukul tujuh hingga lapan pagi ialah masa untuk belajar Fiqh danUsul Fiqh.’ Itulah kerja rumah kita. Selepas itu kita pun pergi ke sekolah.
‘Terdapat banyak buku di dalam perpustakaan bapa kita. Kita telah sama-sama meneliti buku-buku tersebut sendiri. Nama buku­-buku tersebut dicetak dengan huruf-huruf berwarna emas. Kadangkala kita meneliti kitab ‘Nisapur’; kitab ‘Qustalani’; dan kitab ‘Nail Al-Authar’. Bukan saja bapa kita telah membenarkan kita membaca buku-buku diperpustakaannya, bahkan beliau juga meng­galakkan kita berbuat demikian. Kau selalu mengatasi saya dari segi ini. Saya cuba mengikut jejak langkahmu tetapi saya tidak mampu. Kau adalah seorang yang luar biasa. Walaupun perbezaan umur kita hanya dua tahun, tetapi Allah telah menyediakan engkau untuk pen­capaian yang luar biasa.’
‘Bapa kita selalu mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah. Kita kerap mengikuti dengan teliti perbahasan ilmiah antara beliau dengan para ulama yang lain. Majlis-majlis tersebut dihadiri oleh Syeikh Muhammad Zahran dan Hamid Muhsin. Pernah kita men­dengar perbahasan mereka mengenai ‘Arasyh Allah’ di langit tinggi. Di antaranya ialah adakah ‘Istiwa’ bermaksud duduk atau tinggal? Apakah pendapat Imam Ghazali dalam hal ini? Apa pula kata Zamakhshari mengenai perkara ini? Apakah pula tafsiran Imam Malik bin Anas? Kita mendengar perbahasan-perbahasan ini dengan penuh minat. Segala apa yang kita fahami telah bersemadi di dalam ingatan kita. Segala masalah dan perkara yang sukar difahami telah kita rujuk kepada bapa kita ataupun kepada kitab-kitab tafsir dan As-Sunnah.’

‘Saya tidak lupa hari di mana halaman rumah kita dipenuhi kanak-kanak kecil. Mereka adalah penuntut-penuntut sekolah yang diiringi oleh ketua darjah dan guru mereka. Isteri guru mereka juga turut sama sambil mendukung anaknya. Setiap kanak-kanak mem­bawa ranting-ranting kurma sambil bersyair: ‘Berselawatlah kepada Rasulullah (s.a.w.).’ Guru mereka pula bersyair demikian: ‘Kami tidak akan bergerak sehingga kami menerima kepingan perak di dalam pinggan yang bersih dan berkilat.’ ‘Selepas syair ini, kanak-kanak tadi mengulangi rangkap per­tama semula. Ibu kita pun keluar membawa kepingan perak di dalam sebuah pinggan yang bersih dan berkilat. Dia mengisi beg isteri guru tersebut dengan kek dan kuih-kuih manis. Guru itu pun pulang ke rumah selepas acara tersebut. Acara itu diadakan kerana kau telah habis menghafal AI-Quran.'
(Petikan daripada buku Al-Imam-as­Syahid Hasan al-Banna.)

Yang di Pertua pertama ‘Jamiat-usy-Syubbanul-Muslimin’ Mesir, Jeneral Muhammad Saleh Harb Pasya, menulis mengenai suasana di rumah Imam Hasan Al-Banna:

‘Saya berpendapat suasana di rumah memainkan peranan pen­ting dalam membina peribadi Imam Hasan Al-Banna. Beliau dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang 'alim, wara' dan berpegang kuat kepada agama dan ini memberi kesan yang ketara kepada peribadi Imam Hasan Al-Banna.’ ‘Pendidikan yang diterimanya telah mencorakkan roh dan akhlak Islam yang sebenar ke dalam dirinya. Beliau terlibat di dalam amalan sufi di peringkat awal lagi. Guru rohaniahnya atau guru sufinya mahir dalam ilmu Al-Quran, as-Sunnah dan Fiqh. Ilmunya seumpama sungai yang mengalir tanpa halangan untuk selama­-lamanya. Ilmunya ini telah banyak membantunya ketika beliau menyampaikan syarahan dan ceramah. Dengan demikian, beliau telah berjaya memuaskan dirinya sendiri dan juga orang lain.’ (Al Imam-As-Syahid Hasan Al-Banna.)

Hasan Al-Banna sebagai pendakwah kecil di kampungnya.
Allah telah menyemai ke dalam Hasan Al-Banna kecintaan dan kesungguhan untuk menjalankan usaha dakwah Islamiah, rnembawa pembaharuan kepada mesyarakat dan melancarkan jihad. Setiap sudut hidupnya dipenuhi ciri-ciri tadi. Walaupun Hasan Al-Banna menubuhkan A1-Ikhwanul Muslimin dalam bulan Mac 1928, namun begitu, beliau telah menunjukkan ketokohannya sejak kanak-kanak lagi. Mutu peribadinya melambangkan ketokohan yang ada padanya. Akhirnya beliau berjaya menjadi Imam bagi seluruh Dunia Arab.
Ketika Imam Hasan Al-Banna menuntut di sekolah kam­pungnya, beliau telah menubuhkan sebuah persatuan yang bernama ‘Jami'atul Akhlaqul Adabiyah’. Beliau telah dipilih menjadi Yang Di Pertuanya. Persatuan tersebut bertujuan memupuk akhlak yang baik di kalangan para penuntut. Walau bagaimanapun, beliau tidak puas hati dengan kegiatan persatuan tersebut yang terhad itu. Lan­taran itu beliau menubuhkan sebuah persatuan lain di luar sekolah. Ia diberi nama ‘Jami'at insidad Muharramat’.
Persatuan ini berusaha melarang para penduduk kampung daripada terlibat di dalam amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Di antara kegiatan mereka ialah menulis surat kepada orang orang kampung supaya mengamalkan cara hidup Islam agar mereka bahagia di dunia dan akhirat.
Suatu hari, ketika Hasan Al-Banna masih menjadi penuntut di Mahmoodiah, beliau telah berjalan di tepi sungai. Ada sebuah kapal berlabuh di situ. Sebuah patung kayu bogel terpaku di tiang kapal tersebut. Tempat itu merupakan kawasan lalu lalang kaum wanita. Apabila beliau melihat patung tersebut, hatinya tidak dapat bersabar lagi. Beliau terus pergi ke balai polis untuk membuat pengaduan mengenai perkara tersebut. Pegawai Polis tadi pergi bertemu kelasi itu dan menyuruhnya menurunkan patung bogel tersebut dari tiang kapal. Pada hari berikutnya, pegawai polis tadi melawat sekolah Hasan Al-Banna dan memujinya di hadapan pengetua sekolah.

Berdakwah di Sekolah Latihan Perguruan Damanhur.
Imam Hasan A1-Banna berpeluang melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Latihan Perguruan Damanhur. Berkobar di dalam dirinya semangat ingin membawa pembaharuan. Tumpuan pertamanya ialah masjid. Beliau menyusun solah berjamaah di mas­jid. Di sinilah beliau bertemu para anggota Tariqat Hasafiyah dan turut menghadiri majlis mereka. Penglibatan ini memberi galakan kepadanya untuk berusaha menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah memberinya peluang untuk mendalami ilmu rohani.
Imam Hasan Al-Banna berkenalan dengan seorang saudagar ahli sufi, Syeikh Muhammad Abu Syousya. Saudagar ini menjadi kawan rapatnya. Dia membawa Imam Hasan Al-Banna dan rakan-rakannya menziarahi tanah perkuburan seminggu sekali untuk mengingatkan mereka kepada maut. Dia menceritakan kepada mereka kisah-kisah orang Islam yang saleh dan wara'. Kisah-kisah ini membuat mereka menangis dan mendorong mereka mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

Akhirnya mereka menubuhkan sebuah persatuan yang diberi nama ‘Jamia'tul Hissafiyah Khairiyyah’. Persatuan ini mempunyai dua tu­juan. Yang pertama ialah mengajak manusia supaya membina akhlak mulia dan menjauhkan diri daripada amalan yang berten­tangan dengan Islam. Yang kedua ialah menyekat kegiatan dakyah (zending) Kristian yang berusaha menyebarkan ugama mereka dengan berlagak sebagai pendidik dan pekerja-pekerja kebajikan masyarakat.
Di Damanhur, tanggungjawab Imam Hasan Al-Banna kian ber­tambah. Beliau bangun sebelum subuh dan menunaikan solah Taha­jjud di masjid. Selepas itu, beliau membangunkan para muazzin daripada tidur mereka. Apabila para muazzin ini melaungkan azan, Imam Hasan Al-Banna begitu gembira sekali mendengar suara mereka yang sayup-sayup memecah kesepian waktu subuh.
Di Damanhur juga, Imam Hasan Al-Banna belajar mengawal diri dan bersabar. Nilai-nilai peribadi ini banyak membantunya ketika beliau menjalankan usaha dakwahnya.

Imam Hasan Al-Banna di Kaherah
Apabila Imam Hasan Al-Banna memasuki Darul Ulum, Kaherah, beliau dapati struktur masyarakat di sini lebih rumit daripada yang pernah dihadapinya sebelum ini. Keadaan hidup di Kaherah berbeza daripada di Mahmoodiyah dan Damanhur. Kaherah ialah pusat kegiatan politik, pendidikan dan kebudayaan. Keadaan manusia yang berbagai ragam di Kaherah menguatkan cara hidup Islam walaupun terpaksa menghadapi kesukaran yang hebat.
Imam Hasan Al-Banna menganggotai sebuah pertubuhan yang bernama Jamaiatul Makarimul Akhlaq. Inilah satu-satunya per­tubuhan yang sanggup menentang kemungkaran dan membawa pembaharuan kepada masyarakat Kaherah. Imam Hasan Al-Banna selalu menghadiri mesyuarat atau perjumpaan yang diadakan oleh pertubuhan tersebut.

Dakwah Islamiah di Kedai-kedai Kopi.
Keruntuhan akhlak, kekacauan dan kebudayaan Barat telah merebak di Kaherah. Imam Hasan Al-Banna sedar mengenai perkara ini. Beliau berpendapat ceramah dan khutbah di masjid sahaja tidak cukup untuk menyekat arus kemungkaran yang kian menular itu. Beliau pun menubuhkan sebuah pertubuhan yang menggabungkan tenaga para penuntut Darul Ulum dan A1-Azhar dan menyusun satu rancangan dakwah. Mereka yang terlibat ini menjalankan usaha dakwah Islamiah di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat awam. Beliau sendiri, sebagai ketua pertubuhan tersebut dan dengan ber­modalkan Ilmu AI-Quran dan Hadith yang ada padanya, telah menyampaikan ceramah di kedai-kedai kopi. Beliau menasihati para pelanggan yang mengunjungi tempat-tempat itu supaya mening­galkan kegiatan yang sia-sia dan mengajak mereka menunaikan kewajipan agama.

Cara dakwahnya ini mendapat tentangan daripada para ulamak. Namun begitu, usahanya ini mendapat kejayaan. Bahkan cara berdakwah itu telah merebak ke bandar-bandar dan kampung-kampung. Pertubuhan tersebut telah melantik satu jawatankuasa untuk menguruskan kegiatan dakwah Islamiah
Pertubuhan tersebut memperhebatkan kegiatannya apabila tiba cuti musim panas. Sebaik saja cuti musim panas bermula, para ang­gotanya pun melawat bandar-bandar dan kampung-kampung untuk berdakwah. Imam Hasan AI-Banna mendapat dua keuntungan daripada cara berdakwah tadi. Yang pertama ialah beliau dapat membina keyakinan diri sendiri dan yang kedua ialah beliau dapat mengkaji sifat dan corak pemikiran orang awam.
Seruan kepada para ulamak dan pemimpin
Hasan Al-Banna mendapati gerakannya itu lebih lemah jika dibandingkan dengan gerakan sekular Turki yang mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir. Hasan Al-Banna pun mula merancang untuk melancarkan satu gerakan yang lebih kuat, yang mam­pu menghadapi kegiatan gerakan-gerakan yang menggugat Islam. Beliau mendekati para ulamak dan mengingatkan mereka kepada kewajipan-kewajipan mereka terhadap Islam. Beliau menemui Syed Rasyid Ridha dan ulamak A1-Azhar yang terkenal, Syeikh Yusuf as-Dajwi. Dia mengingatkan mereka kepada kewajipan yang perlu mereka lakukan untuk Islam. Hasan Al-Banna menekankan betapa perlu diterbitkan sebuah majalah Islam yang berkesan untuk mem­balas serangan daripada majalah-majalah golongan mulhid (atheis) yang menghentam Islam.

Seterusnya beliau menghubungi pemilik syarikat penerbitan ‘Al Maktabatus-Salfiyah’; membuat pengaduan kepada Canselor Universiti Al-Azhar dan menghadiri majlis-majlis perjumpaan yang diadakan oleh Farid Wajdi. Mereka ini semua adalah orang-orang alim terkemuka Mesir. Beliau menemui mereka seorang demi seorang tetapi hasilnya kurang memuaskan. Namun begitu, Muhibuddin A1-Khatib menerbitkan majalah mingguan ber­nama ‘Al-Fatah’ yang memainkan peranan penting dalam menghadapi kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan Islam.

Imam Hasan AI-Banna mempunyai nilai peribadi yang melayak­kan beliau menjadi seorang pendakwah dan tokoh pembaharuan yang baik. Syeikh Muhammad Al Ghazali iaitu salah seorang sahabatnya, menulis mengenai beliau seperti berikut:

‘Seorang pemimpin yang mampu menggunakan segala sumber bahan yang ada dengan teratur adalah seorang pemimpin yang ber­jaya. Seorang pemimpin yang lebih berjaya adalah seorang pemimpin yang berupaya mengadakan sumber bahan. Imam Hasan Al­-Banna termasuk di dalam golongan pemimpin yang boleh mengadakan sumber bahan.’

Di dalam peperiksaan di Darul Ulum, Imam Hasan Al-Banna pernah diminta menulis sebuah karangan bertajuk, ‘Apa yang akan anda buat selepas menamatkan pengajian dan apakah cara yang anda gunakan?’ Imam Hasan Al-Banna menulis seperti berikut:

‘Saya ingin menjadi seorang guru dan pendakwah. Saya akan mendidik para pemuda pada waktu siang, malam dan waktu cuti. Saya akan mengajak keluarga mereka mengamalkan cara hidup Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan untuk mendapatkan kegembiraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar. Saya akan meng­gunakan cara-cara yang paling baik yang termampu oleh saya un­tuk mencapai tujuan ini melalui syarahan, penulisan dan pengem­baraan di jalan raya dan lorong-lorong.’ Begitulah semangat yang ada pada seorang pendakwah muda bernama Hasan Al-Banna. Adiknya, Abdur-Rahman Al-Banna menulis mengenainya:

“Ketika kami masih kanak-kanak, Hasan Al-Banna memegang tangan saya sambil berkata; ‘Bukankah kita telah menghafal suruhan Allah di dalam ayat 104, Surah ketiga (Ali Imran)?’ Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah daripada yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung.”

Penjelasan:
‘Ma'ruf; segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah, sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita daripada-Nya.

bersambung...

1 comment:

Anonymous said...

Your blog keeps getting better and better! Your older articles are not as good as newer ones you have a lot more creativity and originality now keep it up!