Tuesday, April 21, 2009

AL-IMAM IBNU AL-JAZARI (751H - 833H) : PENGHULU QURRA'


Tokoh Qurra'
AL-IMAM IBNU AL-JAZARI (751H - 833H) : PENGHULU QURRA'

Latar Belakang

Nama sebenar al-Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin `Ali bin Yusuf al-Jazari al-Dimasyqi. Beliau digelar sebagai Abu al-Khair. Beliau dilahirkan pada malam Sabtu 25 Ramadhan 751 Hijriah di Dimasyq, Syam. Di Dimasyq inilah beliau dibesarkan dan menjadi tempat beliau tamat menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 14 tahun lagi. Apabila beliau membesar beliau lebih cenderung untuk mendalami ilmu al-Qiraat daripada masyayikh-masyayikh yang ada pada ketika itu.

Guru-guru Beliau

Di antara ulama-ulama Dimasyq yang menjadi tempat beliau bertalaqqi ialah Abu Muhammad Abdul Wahhab bin as-Salar, Syeikh Ahmad bin Ibrahim at-Thohhan, Syeikh Abu al-Ma`ali Muhammad bin Ahmad al-Labani dan al-Qodhi Abu Yusuf Ahmad bin al-Husain al-Kifri al-Hanafi. Manakala guru-guru beliau dari Mesir ialah Abu Bakr Abdullah bin al-Jundi, Abu Abdillah Muhammad bin as-Sho`igh, Abu Muhammad Abdul Rahman bin al-Baghdadi dan Syeikh Abdul Wahhab al-Qorwi.

Ketika beliau bermusafir ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji dan menuju ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w, beliau telah bertalaqqi al-Quran dengan Imam Masjid al-Nabawi ketika itu iaitu Muhammad bin Soleh. Beliau juga telah mentalaqqi al-Quran daripada hampir semua imam-imam qiraat daripada Syam, Mesir, Hijaz baik secara ifrad dan jama` dengan berpandukan kitab-kitab qiraat yang muktabar seperti as-Syatibiah, at-Taisir, al-Kafi, al-`Unwan, al-I`lan, al-Mustanir, at-Tazkirah, at-Tajrid dan lain-lain kitab qiraat yang masyhur pada ketika itu yang menjadi rujukan utama umat Islam dalam bidang ini.

Beliau juga mengadakan majlis pengajian qiraat selama beberapa tahun di Jami` Umawi, Dimasyq dengan sambutan yang cukup hebat oleh murid-murid beliau pada masa itu. Ada dikalangan mereka yang bertalaqqi daripada beliau berdasarkan satu buah kitab qiraat sahaja. Ada juga yang lebih daripada satu buah kitab. Ada yang bertalaqqi daripada beliau Qiraat Tujuh, Qiraat Sepuluh bahkan lebih daripada itu. Antara anak-anak murid beliau yang mengambil Qiraat Sepuluh ialah anak beliau sendiri Abu Bakr Ahmad bin Muhammad, Syeikh Mahmud bin al-Husain as-Syirazi, Syeikh Najibuddin Abdullah bin al-Husain al-Baihaqi, Syeikh Muhammad bin Ahmad bin al-Haim dan sebahagian besar murid-murid beliau yang lain.

Kegigihan Beliau

Kesungguhan beliau untuk mendalami ilmu qiraat ini cukup terserlah dengan ketabahan beliau merantau keseluruh rantau Islam untuk belajar ilmu Qiraat dan mengajarkannya. Beliau telah bermusafir ke Mesir, Madinah, Basrah, Samarqand, Khurasan, Isfahan dan Syiraz. Ketika beliau singgah di `Anizah, Najd beliau telah mengarang kitab ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat Tiga untuk menyempurnakan Qiraat Tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Syughra.

Ketika beliau berada di Madinah, setelah selesai beliau mengarang Tahbir at-Taisir, beliau mengarang satu kitab lagi yang cukup bermakna dalam dunia ilmu al-Quran dan al-Qiraat iaitu an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab ini merupakan kitab yang paling sempurna di antara sekian banyak kitab-kitab beliau dalam membahaskan ilmu tajwid dan qiraat. Kitab inilah yang menjadi manhaj tertinggi pengajian ilmu qiraat sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang. Setelah itu, beliau telah mengarang sebuah kitab untuk mentalkhis kitab an-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Toyyibah an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab inilah yang telah al-Azhar tetapkan dalam manhaj pengajian qiraat di marhalah Takhassus Qiraat di maahad-maahaq qiraat di seluruh Mesir. Di samping itu, semasa beliau berada di Madinah beliau telah mengarang beberapa kitab lain samada qiraat dan lain-lain.

Kealiman Beliau Dalam Bidang-bidang Lain

Sebenarnya al-Imam tidaklah alim dalam bidang qiraat sahaja, bahkan beliau sangat alim dalam beberapa disiplin ilmu yang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tauhid, tasauf, nahu, sorf, balaghah dan lain-lain lagi. Akan tetapi, di antara ilmu-ilmu yang dinyatakan tadi ternyata beliau lebih alim dalam bidang ilmu hadith. Al-Imam telah mempelajari ulum hadith ini daripada guru-guru beliau seperti as-Syeikh Solahuddin bin Ibrahim bin Abdullah al-Muqaddisi al-Hanbali, al-Imam al-Mufassir al-Muhaddith al-Hafiz Abu al-Fida` Ismail bin Kathir, al-Imam Ibnu `Asakir, Zainuddin bin Abdul Rahim al-Isnawi dan beberapa guru beliau yang muktabar. Beliau mendalami ilmu ini baik dirayah mahupun riwayah sehingga beliau digelar al-Huffaz ath-Thiqat al-Athbat.

Beliau berguru dengan al-Imam al-Isnawi dan al-Imam Ibnu Kathir sehinggalah beliau diberi keizinan oleh gurunya untuk memberi fatwa dan pengajian pada tahun 774 Hijriah sedangkan pada ketika itu beliau baru berumur 24 tahun dan al-Imam Ibnu Kathir merupakan guru pertama yang memberi ijazah keizinan memberi fatwa kepada beliau. Beliau juga diiktiraf untuk memberi fatwa oleh as-Syeikh Dhiauddin pada tahun 778 Hijriah. Manakala pada tahun 785 Hijriah, Syaikhul Islam al-Balqini juga melakukan perkara yang sama.

Beliau telah dilantik sebagai Masyikhah as-Solihiyyah di Baitul Maqdis selama beberapa waktu.Beliau juga pernah dilantik sebagai qadhi di Syam dan Syiraz. Ketika beliau di Syiraz, beliau telah menubuhkan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu qiraat yang diberi nama "Darul Quran".

Kewafatan Beliau

Pada waktu dhuha hari Jumaat bertepatan 5 Rabi`ul Awwal 833 Hijriah, beliau telah pulang mengadap Rabul `Izzati. Beliau telah disemadikan di Darul Quran yang diasaskan olehnya. Jenazah beliau telah diiringi oleh seluruh umat tanpa mengira darjat dan pangkat. Ini memberi bukti beliau benar-benar dikasihi umat.

Renungan Bersama

Sesungguhnya al-Imam merupakan seorang yang alim, soleh, wara`, zuhud dan pemurah. Seluruh masa dan waktu beliau penuh dengan amal kebajikan dan taqarrub. Sentiasa membaca al-Quran dan mendengarnya daripada orang lain, tekun menuntut ilmu sehinga mampu mengarang. Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail baik ketika beliau kelapangan atau dalam permusafiran. Senantiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta tiga hari dalam setiap bulan. Banyak karangannya yang bermanfaat menunjukkan tingginya kegigihan beliau dan hebatnya ilmu beliau tanpa mengira disiplin ilmu apatah lagi dalam bidang ilmu al-Quran dan al-Qiraat yang diberi kelebihan oleh Allah S.W.T kepada beliau.

No comments: