Friday, April 04, 2008

PERIHAL JANGGUT YANG INDAH

Mempunyai janggut merupakan satu penghargaan buat lelaki. Andai rambut diiktiraf sebagai mahkota buat wanita. Maka, janggut merupakan takhta buat para lelaki. Namun,adakah janggut kita layak di'takhtakan' andai kutu pun boleh membiak di sana? Lebih teruk janggut diwarnakan..Jadi yang paling penting,bagaimana sunnah ini difahami dan dihayati oleh kita semua?? Berbahagialah buat mereka yang mempunyai janggut yang indah...

Ulasan Ulama’ Tentang Janggut dan Misai.

Majallah Al Jum’ah Al Misriah

Beberapa orang anggota Al Jamiah Asy-Syariah Mesir telah menulis berhubung dengan perkara janggut yang dimuatkan dalam majalah Al Jamiah Al Misriah, Bil. 7, Tahun ke-5melalui tajuk: “Mencukur Janggut Haram Dengan Ijma.” Di antara kandungannya adalah seperti berikut:

Diantara kebiasaan yang amat keji yang dilakukan oleh masyarakat pada masa ini ialah mencukur janggut dan memanjangkan misai. Perbuatan bida’ah ini telah dilakukan oleh orang-orang arab akibat pergaulan mereka dengan orang-orang yang bukan islam dan akibat perlakuan mereka yang menganggap baik adapt kebiasaannya, sehinggakan mereka menganggap hina keindahan-keindahan yang ada pada agama mereka, kerana mereka telah meninggalkan sunnah Nabi mereka s.a.w.

Daripada Ibnu Umar r.a, daripada Nabi s.a.w, sabdanya:
“Berbezalah kamu dari orang-orang musyrik, kamu potonglah misai kamu dan biarkanlah janggut kamu panjang.”

Imam Muslim juga meriwayatkan daripadanya, katanya bersabda Rasulullah s.a.w:
“Potonglah misai kamu dan panjangkanlah janggut kamu, maka berbezalah kamu dari orang-orang majusi.

Hadis-hadis yang menyeru agar memotong misai dan membiarkan janggut memanjang sangat banyak. Kesemuanya adalah berupa nas yang menunjukkan kewajipan membiarkan janggut panjang dan haram mencukurnya serta mengambil sebahagian daripadanya adalah dosa besar.

Tidak tersembunyi, bahawa kedua-dua lafaz hadis: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik dan berbezalah kamu dengan orang-orang majusi, kerana keduanya sebagai menyokong hukum haram ini.”
Abu Daud dan Ibnu Hibban telah mengeluarkan hadis yang telah ditashih oleh Ibnu Hibban daripada Ibnu Umar, katanya, bersabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang menyerupai satu-satu kaum, maka dia adalah dari golongan mereka”. Hadis ini adalah puncak larangan menyerupai orang-orang fasik atau orang-orang kafir dalam mana-mana perkara yang menjadi tabiat mereka, seperti pakaian atau bentuk perilaku. Beberapa ulama’ berbeza pendapat tentang perkara ini, di antara mereka ada yang mengatakan kafir berdasarkan zahir hadis, dan ada pula yang mengatakan tidak kufur, akan tetapi dia perlu diberi pengajaran.

PENDAPAT MAZHAB YANG EMPAT

Mazhab yang empat telah sepakat bahawa wajib membiarkan janggut memanjang dan haram mencukurnya.

Pertama: Mazhab Hanafi.
Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, pengarang kitab Ad Durr Al Mukhtar menerangkan bahawa adalah diharamkan ke atas lelaki memotong janggutnya. Pengarang An Nihayah pula menyebutkan bahawa adalah wajib memotong janggut yang lebih dari genggaman. Memotong atau menggunting janggut yang kurang segenggam dari dagu, sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah orang barat dan pondan, maka ianya tidak disukai oleh sesiapapun. Membuang kesemua janggut pula adalah perbuatan yahudi, India dan Majusi serta bangsa asing (bukan islam (Fath Al Bari).

Perkataan: “Yang diluar genggaman wajib memotongnya.” Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, dimana baginda mengambil sebahagian janggutnya dari tepid an panjangnya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dalam Jami’nya, begitu juga dalam kebanyakan kitab-kitab ulama’ Hanafi.

Kedua: Mazhab Maliki.
Mengikut ulama’-ulama’ besar Mazhab Maliki adalah haram mencukur janggut. Perkara ini disebutkan dalam kitab Syarah Ar Risalah karangan Abil Hasan dan Hasyiahnya karangan al Allamah Al ‘adwy rahimahumullah.

Ketiga: Mazhab Syafi’i.
Dalam mazhab ulama’ besar Syafi’I sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Al umm, adalah haram mencukur janggut.

Keempat: Mazhab Hambali.
Mazhab ulama’- ulama’ besar Hambali telah menetapkan tentang haramnya mencukur janggut. Perkara ini telah disebutkan dalam kitab Syarah Al Muntaha dan Syarah Manzumah Al Adab serta yang lain-lain.

HARAM MENCUKUR JANGGUT ADALAH DARI AGAMA

Dari keterangan yang telah disebutkan kita dapat mengetahui bahawa haramnya mencukur janggut itu adalah dari agama Allah azza wajalla dan syariatnya yang tidak disyariatkan kepada makhluknya melainkan kepada umat Islam. Pengamalan selain dari yang demikian adalah suatu kebodohan dan kesesatan atau kefasikan dan kejahilan, atau kelalaian dari petunjuk Nabi Muhammad s.a.w.

HIKMAH JANGGUT

Adapun dari segi hikmat adanya janggut, maka sesungguhnya Allah Taala telah mengistimewakan kaum lelaki dengan janggut dan kaum perempuan dengan dandanan rambutan. Saidatina Aisyah R.a bersungguh-sungguh apabila bersumpah, dan berkata: “Demi Hak yang menghiasi kaum lelaki dengan janggut dan kaum perempuan dengan dandanan rambut.” Beliau juga berkata: “Maha suci Tuhan yang mencantikkan perempuan dengan dandanan rambutnya.”
Sabda Rasulullah s.a.w: “Biarkanlah janggut kamu, adalah dimaksudkan memanjangkan dan melebatkan janggut.” Berkata sebahagian ulama hadis: “Kehebatan itu ada pada janggut dan serban.”

MAWARID AZZHAMAAN -Al Ustaz Abdul Aziz Al Muhammad As Salman

Berhubung dengan haramnya mencukur janggut, dalam kitab yang bertajuk Mawarid az Zhamaan, Ustaz Abdul Aziz al Muhammad as Salman antara lain menyebutkan keistimewaan janggut, diantaranya:
1. Menyalahi orang-orang musyrik.
2. Membezakan lelaki dari perempuan.
3. Membezakan lelaki berjanggut dari kanak-kanak dan menutupi apa-apa yang tidak elok pada tempat tumbuh janggut, khususnya bagi orang tua.
4. Menambah kewibawaan orang yang memanjangkan dan melebatkan.
5. Membiarkan dan memanjangkan janggut adalah sebahagian sunnah para Nabi.
6. Orang yang membiarkan dan memanjangkan janggut akan dipandang dengan pandangan kebesaran, kewibawaan dan kekaguman.
7. Orang yang berjanggut didahulukan dalam kalangan jemaah dan ia tidak mensia-siakan usianya walau sedikit untuk mencukur atau mengguntingnya.
8. Perlantikannya sebagai Imam kepada jemaah dianggap lebih sahih.
9. Menjauhkan orang yang berjanggut dari menyerupai perempuan, kanak-kanak, yahudi, majusi dan pondan.

KEISTIMEWAAN LELAKI DAN PEREMPUAN

Berkata Ibnu Qayyim: “Perhatikanlah kenapa lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai bulu ari-ari tetapi kaum lelaki mempunyai satu kelainan dari kaum perempuan iaitu janggut.”

Maka sesungguhnya Allah Ta’ala menjadikan kaum lelaki sebagai penguasa kepada kaum perempuan, dan menjadikan kaum perempuan boleh dimiliki lelaki serta patuh kepada suami, maka kaum lelaki diistimewakan dengan janggut kerana padanya terdapat keperkasaan, kemuliaan, kewibawaan dan ketangkasan. Kesemuanya itu untuk kesempurnaan kaum lelaki dan sifat-sifat ini memang diperlukan oleh mereka tetapi perkara ini tidak diberikan kepada kaum wanita kerana wajah mereka memang untuk dinikmati, disamping wajah mereka tetap berseri dan kecantikannya tidak dicemari bulu.

Ulama’ menyebutkan bahawa apabila kesemua janggut dibuang, yakni bertentangan dengan jalan petunjuk Nabi s.a.w yang menyuruh mengekalkan dan memuliakan janggut, maka mereka sebenarnya menyerupai yahudi dan nasrani. Mereka mencukur janggut untuk memperlihatkan kecantikan mereka dan perkara ini bertentangan dengan pendapat orang-orang alim. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Maka adakah orang yang diperelokkan kepadanya amalan buruknya, lalu ia memandangnya baik?”

(Fathir: 8 )

Kebanyakan orang yang mencukur janggut, ada yang membiarkan misai begitu panjang, dan dengan perbuatan ini seakan akan mereka menentang dan menyalahi Nabi s.a.w yang mana baginda menganjurkan supaya membiarkan janggut, tetapi hendaklah memotong misai.

Disamping yang demikian, mereka memintal dan menyikat misaim, sesetengahnya ada pula yang menambah dan melengkungnya. Maka perbuatan yang mengikuti akhlak hina ini hanyalah perbuatan sia-sia, bertaklid secara membabi buta dan mereka tidak faham bahawa perbuatan ini bermakna menghilangkan kecantikan, kelelakian, kehebatan, kewibawaan dan sifat kesempurnaan.

Kita berlindung dengan Allah dari perbuatan yang terlarang ini. Kesemua ini berlaku adalah akibat bertaklid kepada orang barat. Oleh sebab itulah kita dapat melihat mereka mensia-siakan perintah agama, tidak mempedulikan kehendak-kehendak agama, melalaikan kewajipan agama, melanggar apa yang diharamkan Allah dan mereka tidak peduli dengan melakukan apa-apa yang tidak disukai syarak, seperti melakukan kejahatan, kemungkaran dan perkara-perkara yang keji. Kesemua mereka hidup di dalam kawalan syahwat dan nafsu jahat mereka.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Dan tidaklah ada yang lebih sesat daripada orang yang memperturutkan hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah Allah, sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim.”

(Al Qashash: 50)

Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya melalui hadis Qatadah, daripada Anas bin Malik katanya:

“Adalah kami membenci seseorang lelaki itu mencabut uban dari kepala dan janggutnya.”

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang mafhumnya:
“Ikutilah sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat hidayah selepasku, berpegang teguhlah kepadanya, dan jauhilah mencipta perkara-perkara baru dalam agama, kerana mencipta perkara baru dalam agama adalah bida’ah” (sehingga akhir hadis)
Firman Allah Ta’ala:
“Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari kalangan mereka.”

(Al Maidah : 51)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ibnu Ishak dan Ibnu Jarir, Nabi s.a.w bersabda yang mafhumnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruhku membiarkan janggutku panjang dan menyuruhku memotong misaiku.”

Diantara dalil yang menunjukkan haram mencukur janggut ialah sabda Nabi s.a.w: “Sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka ia bukan dari golonganku.”
Diantara sunnah Nabi adalah membiarkan janggut panjang.

KEAGUNGAN JANGGUT NABI MUHAMMAD S.A.W

Imam Ahmad dalam meriwayatkan dengan sanad-sanad yang baik daripada Ali r.a, katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w memiliki janggut yang indah.”

Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir r.a, katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w banyak janggutnya.”
Daripada Anas r.a, katanya: “Adalah janggutnya itu penuh dari sini ke sini” (Anas menunjukkan tangannya ke pipinya.)

Daripada Aisyah r.anha, katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w berjanggut tebal, memenuhi pipinya.”
Berkata Abu Mu’ammar: “Kami pernah bertanya kepada Khabbab bin Al Arth, “Adakah Rasulullah s.a.w membaca bacaan ketika melakukan sembahyang Zuhur dan Asar?” Khabbab menjawab, “ ya”. Kami bertanya lagi: “Bagaimana kamu mengetahui bacaannya itu?” Khabbab berkata: “Melalui getaran-getaran janggutnya.” (Riwayat Bukhari)

Ibnu Umar r.a pernah ditanya: “Bagaimana kamu dapat mengetahui bacaan Rasulullah s.a.w dalam sembahyang yang tidak dinyaringkan bacaannya?” Ibnu Umar menjawab: “Melalui getaran-getaran janggutnya.”
Ibnu Majah dan Turmuzi meriwayatkan daripada Uthman r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya janggut baginda berselang seli.” Maka hadis ini menunjukkan betapa agung dan panjangnya janggut baginda. (Hadis ini disahihkan oleh Turmuzi).

Abu Daud meriwayatkan daripada Anas, bahawa Rasulullah s.a.w ketika berwudhuk, baginda mengambil air dengan tapak tangan lalu memasukkannya di bawah dagu arah dari leher dan berselang seli janggutnya dengan air itu, kemudia baginda bersabda: “Beginilah Tuhanku menyuruhku.”

Berkata pengarang I’anat Thalibin: Adalah janggut Rasulullah s.a.w itu agung dan kurang elok disebut sebagai lebat kerana sebutan ini seperti kurang baik. Jumlah bulu janggut bagindak itu ialah sebanyak seratus dua puluh empat ribu, iaitu sebanyak bilangan nabi-nabi.” (I’anat Thalibin, 1:39.p)
Rujukan daripada, tajuk buku “Ulasa Ulama’ tentang Janggut dan Misai”, pengarang: Hj. Muhammad Nur Lubis. Terbitan Al-hidayah cetakan kedua (2001).

Bahan rujukan:
1. Al-Quran Al Karim
2. Kitab-kitab Tafsir
3. Al Baghawi, Syarh as Sunnah’, Al Maktab al Islami, Beirut, 1983
4. Al Baihaqi. Manaqib asy Syafi’I, Dar al Turats, Cairo.
5. Ibnu Batutah, Rihlah Ibnu Batutah, Dar al Kutub al Ilmiah, cet. 1987.
6. Ahmad bin Hanbal, Musnad al Imam Ahmad bin Hanbal. Dar al Fikr, Beirut.
7. Ibnu Qayyum al Jauziah, Zad al Ma’ad, Al Matba’ah al Misriah, Mesir.
8. Ibnu Hajar al Atsqalani, Syihabuddin Abi al Fadhl, Fathal Bari’, Musthafa Al Halabi, Mesir, 1959.
9. Dr. Syeikh Yusuf al Qardhawi, Al Halal wa al Haram fi al Islam, Al Maktab al Islami, Beirut, 1994.
10. Al Kandahlawi, Muhammad Zakariyya, Wujud I’Fa alLihyah, Maktabah al Sunnah, Cairo.
11. Al Nawawi, Riyadhus Solihin, Al Maktab al Islami, Beirut, 1992.

No comments: